fbpx

Pasukan ResQ UPSI bantu mangsa banjir di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Makanan kering antara barangan sumbangan kepada mangsa banjir yang dibawa bersama Pasukan ResQ UPSI ke Batu Pahat semalam.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan Pasukan ResQ selaras dengan misi Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (Maskum) dan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu operasi pasca banjir di Batu Pahat, Johor semalam.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, seramai 25 sukarelawan UPSI yang diketuai oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd. Azlan Hanafiah menjalani misi tersebut.

“Pasukan itu ke Johor bersama kekuatan jentera terdiri daripada dua buah kenderaan pacuan empat roda, sebuah bas serta pelbagai peralatan pembersihan.

“Mereka tampil turun padang bagi membantu mangsa pasca banjir di Johor kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Pasukan ResQ turut mengagihkan barangan sumbangan berbentuk keperluan barang makanan kering dan keperluan asas hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Vestime Synergy Sdn. Bhd. dan Yayasan Amal ASAS melalui tabung UPSI Prihatin di Batu Pahat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Norkhalid Salimin berkata, UPSI sentiasa peka dan siap sedia membantu mangsa yang ditimpa bencana.

“Ini adalah satu permulaan yang baik sebelum Ramadan serta satu ibadah yang kita sempurnakan dengan baik. Saya berharap bantuan dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa yang terkesan,” katanya.

Majlis Pelepasan Pasukan Penjawat Awam Pasca Banjir ke Johor disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali di pekarangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI