fbpx

Lelaki cabut lari tinggal van bawa syabu RM17.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (tengah) menunjukkan bungkusan teh Cina berisi syabu yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Tanah Merah hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

TANAH MERAH – Seorang lelaki bertindak melarikan diri meninggalkan sebuah van dipandunya yang membawa dadah jenis syabu seberat 499 kilogram bernilai RM17.9 juta selepas terkejut dengan kehadiran anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Wan Ahmad di sini, kelmarin.

Suspek bertindak sedemikian apabila kegiatannya itu dikesan oleh anggota PGA yang melihat sebuah van jenis Nissan Vanette dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, semasa anggota PGA menahan van terbabit untuk tujuan pemeriksaan, suspek dilihat keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri ke arah kawasan semak.

Menurutnya, suspek meninggalkan van tersebut tanpa sempat mematikan enjin selepas dipercayai terkejut melihat anggota PGA yang mahu memeriksa kenderaan itu.

“Pemeriksaan di bahagian belakang van tersebut kemudiannya menjumpai sebanyak 13 guni mengandungi 499 peket plastik teh cina dengan setiap satunya seberat satu kilogram yang disyaki dadah jenis syabu.

“Anggota PGA telah membuat carian dan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian, namun gagal mengesan suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Azman memberitahu, pemeriksaan mendapati, van tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu selain nombor casis dan enjinnya juga dipercayai sudah diubah.

Menurutnya, kesemua dadah tersebut dipercayai diperoleh dari Thailand untuk dibawa dan dijual di sekitar Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI