fbpx

Kerajaan Selangor taja anak yatim lanjut pelajaran bidang kemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin (enam kiri barisan belakang) selepas menyampaikan peralatan persekolahan kepada anak yatim di Bangunan SUK hari ini.

SHAH ALAM – Nasib anak-anak yatim yang bakal keluar dari rumah-rumah perlindungan selepas genap berusia 18 tahun lebih terbela apabila kerajaan negeri bakal menaja mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman, untuk permulaan pihaknya bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk menaja 30 anak yatim di bawah seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bermula bulan ini.

“Kerajaan negeri mahu anak-anak yatim yang berdaftar di rumah perlindungan di bawah YIDE belajar kemahiran di STDC dalam bidang elektrik, automotif, penghawa dingin dan sebagainya.

“Ini penting untuk dilaksana kerana kita dapati ada dalam kalangan anak-anak yatim selepas meninggalkan rumah perlindungan mereka seolah-olah terpaksa bertarung untuk mendapatkan pekerjaan kerana mereka tidak mempunyai skil yang khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Persefahaman Kerjasama Pelan Pembangunan Modal Insan Pasca Rumah Perlindungan dan Anak Yatim Negeri Selangor di Bangunan SUK hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, buat masa ini terdapat 948 anak yatim di 25 rumah anak yatim di bawah seliaan YIDE yang bakal dilibatkan dengan program pengajian kemahiran tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI