KEBERSAMAAN tiga vokalis hebat bakat muda Indonesia, Lyodra, Tiara Andini dan Ziva Magnolya dalam lagu hit Menyesal versi baharu menuai perhatian sejak beberapa minggu lalu.
Diluncurkan secara rasmi pada 3 Mac lalu menerusi YouTube Yovie Widianto, remake lagu tersebut merupakan single perdana dari rangkaian projek terbaharu album Yovie & Friends yang dilancarkan di bawah label Universal Music Indonesia.
Dalam diskografi berkenaan, menampilkan gandingan Yovie dengan ramai penyanyi serta artis popular Indonesia untuk membawakan karya-karya ciptaannya.
Lyodra, Tiara dan Ziva, tiga superstar muda Indonesia yang digabungkan dalam single pertama album tersebut berjudul Menyesal, sebuah karya yang cukup popular dinyanyikan oleh Ressa Herlambang.
Penyatuan tiga bakat besar itu sememangnya menjadi khabar gembira bagi peminat serta pencinta muzik berkat kualiti serta prestasi ditonjolkan mereka dalam berpadu vokal bersama sentuhan muzik daripada Yovie.
Produksi yang amat terperinci hingga hal yang terkecil, penjiwaan lirik lagu memberi rasa mendalam.
Harmoni vokal luar biasa menjadikan Menyesal sebagai salah sebuah karya muzik terbaik tahun ini.
Paduan merdu, syahdu
Pada usia yang masih muda, ketiga-tiga bintang itu telah banyak mencipta kejayaan peribadi masing-masing termasuklah pengalaman berkolaborasi bersama artis antarabangsa.
Sebelum Menyesal, mereka terlebih dahulu terlibat dalam jalinan kerjasama mengeluarkan lagu #TerlanjurMencinta yang juga dicipta oleh Yovie, namun diluncurkan dalam tiga susunan muzik berbeza.
Mengapa Kita #TerlanjurMencinta versi Lyodra, Maafkan Aku #TerlanjurMencinta (Tiara) dan Tak Sanggup Melupa #TerlanjurMencinta (Ziva) yang bukan sekadar menempa hit tetapi juga menjadi sebuah kejayaan dalam industri muzik dunia.
Single Menyesal, genre lagu cinta pop balada dengan nuansa mega bercerita tentang perihal pilu sebuah penyesalan dan sulitnya merelakan seseorang pergi.
Ditambah alunan piano dengan iringan strings section yang merdu dan menambah syahdu, sinkronisasi dalam harmonisasi vokal trio hebat itu tambah memukau.
Sebagai orang utama dalam projek album tersebut, Yovie yang sudah berkarya dalam industri muzik Indonesia selama lebih tiga dekad dengan segudang pencapaian mencatat sejarah peribadi pada 2020.
Dia dinobatkan selaku pencipta lagu dengan jumlah strim terbanyak melalui senarai main Written by Yovie Widianto oleh platform penstriman Spotify, lebih membanggakan bukan hanya di Indonesia atau Asia, bahkan di seluruh dunia.
Saat ini, jumlah strim lagu-lagu Yovie dalam Spotify mencapai angka lebih 1.6 juta.