fbpx

Farid Kamil bawa kereta baharu jumpa anak, ada pihak panggil polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID Kamil tidak dibenarkan masuk ke rumah sejak awal Mac lalu termasuklah dilarang bertemu dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora.

PETALING JAYA – Pelbagai usaha dilakukan Farid Kamil bagi memujuk isteri tercinta namun tidak mampu mengubah pendirian Diana Danielle meneruskan permohonan perceraian.

Pengurus pelakon dan pengarah itu, Azhari Hamid berkata, sahabatnya itu hiba apabila hasrat membawa anak-anak keluar menaiki kenderaan baharu yang dibeli untuk kegunaan sekeluarga tidak kesampaian pada hujung minggu lalu.

“Sebenarnya Farid menerima notis mahkamah berhubung sebutan kes permohonan daripada Diana minggu lalu, tetapi dia cuba positifkan diri dengan berusaha memujuk.

“Walaupun diminta keluar dari kediaman mereka sejak 3 Mac lalu selain tidak dapat berjumpa anak-anaknya sepanjang tempoh itu, Farid tetap menaruh harapan terhadap perkahwinan mereka.

“Cuma apabila tidak dibenarkan membawa keluar Muhammad dan Nur Aurora, serta secara tiba-tiba muncul pula kereta peronda polis di pos pengawal rumah mereka, dia terkejut dan sedih. Saya tahu Farid menangis sebab matanya sembab.

“Mungkin Farid tidak menyangka dia dihalang berjumpa anak-anak, sedangkan kes dibawa ke mahkamah hanya membabitkan permohonan perceraian,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bercakap bagi pihak sahabatnya, Azhari berkata, Farid akur dengan keputusan mahkamah Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan dia dan isteri menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Begitupun, buat masa ini pihak aktor filem Anwar: The Untold Story itu belum memberi pengesahan berhubung individu yang akan dilantik mewakilinya nanti untuk sebutan pada 28 Mac ini.

Malah Azhari turut menolak dakwaan kedatangan mereka ke Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari pada pagi kelmarin untuk kes sebutan pertama diiringi ramai pengawal peribadi.

“Semalam kami datang berempat termasuk saya, peguam dan seorang lagi rakan, bukanlah ‘bodyguard’ macam diperkatakan segelintir pihak.

“Farid pun tak sedia apa-apa termasuk meletakkan sesiapa untuk sesi JKP ketika ditanya Hakim, mungkin saudara terdekatnya yang akan jadi wakil nanti,” katanya.

Diminta mengulas punca Diana membenarkan suaminya memasuki rumah, setahu Azhari hubungan pasangan tersebut baik-baik saja sehingga mereka kembali ke tanah air usai mengerjakan umrah pada akhir bulan lalu.

“Farid maklumkan selepas balik umrah dia sibuk dengan latihan badminton untuk penggambaran filem Gold arahan Adrian Teh yang berkisar mengenai wira sukan negara.

“Pada 3 Mac apabila pulang selepas habis penggambaran, dia tak dibenarkan masuk ke rumah atas beberapa alasan hingga terpaksa mencari tempat tinggal sementara.

“Katanya sebelum itu memang wujud perselisihan kecil, tetapi Farid menyatakan tidak menyangka hal tersebut membawa kepada permohonan cerai isterinya.

“Kali terakhir saya jumpa mereka berdua pada tayangan filem Anwar The Untold Story tiga minggu lalu, mereka tampak gembira berkongsi momen tersebut. Ramai saksi,” kongsinya yang bersahabat dengan pengarah itu sejak 2003.

Kelmarin, dunia hiburan tanah air digemparkan dengan berita Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada awal bulan ini.

Permohonan cerai tersebut atas alasan tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, pagi semalam.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai. Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan pasangan itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI