ANDAI kata pencapaian sejak dua musim lalu diambil kira, Kuala Lumpur City boleh dianggap sebagai pasukan ‘kaya’ kerana berpeluang menarik ramai peminat untuk membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Ini kerana, jika trend di kebanyakan negeri, aspek keputusan seakan menjadi elemen utama kepada kehadiran penyokong ke stadium. Jika pasukan beraksi baik, maka tiket perlawanan juga akan ‘laku keras’ seperti pisang goreng panas.
Sejak mula dilatih Bojan Hodak, KL City sudah menyerlahkan magis tersendiri, bermula dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia 2021, musim lalu The City Boys hampir menyamai pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjulang Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum tewas kepada kelab Oman, Al-Seeb 3-0.
Bagaimanapun, di sebalik keputusan itu dan kualiti yang dipersembahkan pemain dalam padang, ia seakan tidak seiring dengan jumlah kehadiran penyokong ke stadium.
Data terkumpul sepanjang 18 perlawanan membabitkan KL City di venue berkenaan sepanjang musim lalu menunjukkan, hanya 26,453 orang hadir ke stadium dan angka itu boleh dikatakan terlalu rendah buat pasukan yang memperoleh kejayaan.
Kurangnya sambutan peminat untuk turun ke stadium sekali lagi seakan menjadi ‘penyakit’ musim ini apabila hanya mampu menarik 8,138 orang penyokong dalam dua aksi awal di venue berkenaan, sedangkan gelanggang itu mampu memuatkan lekira-kira 18,000 penyokong.
Jika mengambil kira faktor sekeliling Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, ia sebenarnya agak strategik kerana dikelilingi banyak taman perumahan, kondominium, apartmen serta flat, malah dalam aspek kemudahan lain juga, venue itu boleh dikatakan serba lengkap.
Bermula dengan perkhidmatan pengangkutan, kawasan sekitarnya sudah memiliki sistem Transit Aliran Massa (MRT) Taman Pertama, Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tun Razak, LRT Salak Selatan, KTM Salak Selatan, kesemuanya berada di bawah radius 5 kilometer dari stadium.
Persoalannya, adakah kejayaan dicapai KL City masih belum cukup menarik minat penyokong ke stadium atau peminat masih lagi berpaksikan kepada kenegerian, memandangkan ada dakwaan mengatakan, kebanyakan penduduk sekitar berasal dari negeri lain.
Mengulas mengenai perkara ini, pemilik KL City, Azri Azerai, berkata, selepas melengkapkan proses pemilikan, pihaknya sudah merangka beberapa pelan bagi menimbulkan minat penyokong untuk hadir ke stadium setiap kali pasukan beraksi.
“Kami akan buat lebih kepada ‘turun padang’ mendekati penduduk kawasan sekitar, mungkin juga akan buat karnival dan program, kerana pada akhirnya nilai yang kami buat ini akan kembali kepada stadium. Kami jumpa Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (pemilik Kedah Darul Aman), dia bagi nasihat yang mereka pun buat benda sama,” katanya.
Pada asasnya, masih banyak peluang yang boleh diterokai pengurusan pasukan memandangkan lokasi stadium ini hanya bersebelahan dengan tempat tumpuan riadah keluarga iaitu Taman Tasik Permaisuri.
Kredit juga wajar diberikan kepada pengurusan pasukan kerana sudah mengambil pendekatan sendiri seperti memperkenalkan potongan harga tiket, namun pada masa sama, tidak salah untuk membuat lebih banyak aktiviti sebelum perlawanan seperti sering dilakukan kelab luar negara.