fbpx

Abang ‘gengster’ sebak cerita kisah masuk Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video TikTok Muhammad Mikhael Sathayah bersama ibunya.

PETALING JAYA – Seorang lelaki berpenampilan seperti gengster mengundang rasa terharu orang ramai apabila dia mengambil keputusan memeluk agama Islam selepas mendapat hidayah Allah.

Lelaki tersebut yang menggunakan nama akaun TikTok @mukagangster atau nama sebenarnya Muhammad Mikhael Sathayah berkongsi kisah penghijrahan pada aplikasi media sosial tersebut.

Ia sekali gus meraih 724,000 tanda suka dan lebih 70,000 komen sehingga kini yang rata-ratanya terharu dengan keputusan dipilih.

Lebih mengharukan apabila ibu pemuda tersebut juga bersetuju dan menghormati keputusan Muhammad Mikhael Sathayah untuk memeluk agama Islam walaupun pelbagai tomahan dan kecaman yang diterima.

“Sepanjang hidup semenjak kecil, kekosongan di hati, jiwa ini mencari apakah erti kehidupan. Kenapa saya bukan macam orang lain. Saya cuba mengisi kekosongan, tetapi kesakitan yang makin hari makin menjadi-jadi.

“Di luar nampak berjaya bekerjaya, tetapi dalam hati saya kesakitan. Apa yang kurang, saya sayang mak saya. Emak saya segala-galanya bagi saya. Mencari nur yang tidak kesampaian, jiwa ini meronta sampai subuh suatu pagi.

“Terdengar suara yang indah ‘aku yang cipta kamu, tapi ini aku berikan kepada kamu, terima sajalah’. Apakah maksud soalan itu, saya tertanya-tanya, apakah jawapan untuk soalan itu. Saya rasa saya tahu, tapi saya masih tidak mahu menerima,” katanya menceritakan kisah tersebut menerusi video pada TikTok.

Lelaki itu berkata, dia mencari dan mengejar dunia, namun merasakan hatinya semakin hari semakin kosong serta semakin gelap jiwa.

“Mencari jiwa yang hilang, kenapa aku ke sini. Sampai dah dapat jawapan, saya bagi tahu mak, mak saya nak masuk Islam. Mak terdiam, terkejut lepas itu mak senyum dan beri kebenaran.

“Terima kasih mak, terima kasih kerana menerima saya. Macam-macam mak dikecam sampai ada yang kata mak tak ada anak, anak mak dah mati. Sampai kata hidup saya macam ini sebab mak terlalu manjakan saya.

“Bukan mak, mak seorang mak yang baik, terima kasih mak. Makin hari mak nampak saya semakin tenang. Mak sentiasa bersama saya, mak hadiahkan saya sejadah dan mak juga teman saya ke masjid. Terima kasih mak, walaupun kita berlainan agama, mak tunggu di luar masjid,” katanya.

Muhammad Mikhael Sathayah memberitahu ibunya keadaan cuaca yang panas apabila terpaksa menunggu di dalam kereta, namun wanita itu tidak kisah.

“Terima kasih mak, mak tak hiraukan saudara-mara, mak tak hiraukan cakap sesiapa, mak terima saya. Saya dapat beli rumah sebelah rumah mak sebab saya tak nak tinggalkan mak. Rezeki mak, saya nak berjiran dengan mak. Rezeki Allah mak. Sekarang anak mak tenang, jiwa tak kosong, rasa penuh jiwa ini. Terima kasih mak masih bersama saya.

“Banyak sangat dosa sampai saya berpuasa sepanjang tahun, walaupun Islam larang. Saya puasa 360 hari (kecuali) raya Aidilfitri dan raya haji. Hari-hari lain saya puasa, saya nak hilangkan dosa. Sampaikan saya sakit, Islam melarang paksa puasa,” katanya dengan nada sebak selain berterima kasih kepada individu-individu yang banyak membantunya.

Dalam pada itu, dia turut berharap dan berdoa supaya kekal istiqamah di atas jalan Allah selain memohon orang ramai mendoakan ibunya.

“Mak saya baik sentiasa bersama saya, walaupun kami berlainan agama. Saya sayang mak saya dan mak saya sayang saya. Hidayah milik Allah, terima kasih semua, inilah kisah saya,” katanya.

Sementara itu, ruangan komen milik TikTok lelaki tersebut dibanjiri dengan pelbagai reaksi positif dan rata-ratanya tersentuh dengan perkongsian penghijrahannya.

“Tersentuh hati dengar kisah abang. Tahniah abang, bukan semua dapat hidayah daripada Allah dan diterima. Mak abang memang terbaik,” kata Ana Melina.

“Video awak sangat menyentuh hati, jiwa dan nurani. Itulah hidayah yang Allah nak bagi. Semoga sentiasa istiqamah saudara baruku,” komen EmmaLambongStore.

Sebelum ini, pemuda tersebut sering tular di aplikasi Tiktok memaparkan video kandungan manja bersama ibunya selain menyukai warna merah jambu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI