ALOR SETAR – Yuran Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) yang semakin mahal dan kos sara hidup yang tinggi mendorong ramai ibu bapa termasuk golongan M40 berebut mahu menghantar anak ke prasekolah.
Situasi itu dapat dilihat apabila banyak permohonan dibuat ibu bapa tahun ini selain mereka memohon kerajaan memperbanyakkan kelas prasekolah.
Menurut Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad, prasekolah menjadi rebutan pertama kerana tiada yuran dikenakan berbanding tadika swasta yang semakin tinggi yuran setiap tahun.
“Mana ibu bapa nak tahan, kalau anak ramai bersekolah.
“Kedua, ibu bapa semakin yakin dengan silibus prasekolah yang mengikut Kementerian Pendidikan, malah guru besar juga sentiasa memantau perkembangan murid-murid ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah Zainol, faktor lain yang membuatkan prasekolah menjadi pilihan ramai walaupun hanya diberi kepada pelajar golongan kurang berkemampuan termasuk B40 sahaja adalah kawalan keselamatan di sekolah.
“Selain itu, prasekolah juga memberi pendedahan awal terbaik untuk kanak-kanak sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan sebenar nanti daripada segi persekitarannya,” ujarnya.
Kata Zainol, ibu bapa yang terpaksa menghantar anak masing-masing ke tadika swasta bukan sahaja dibebani dengan kos yuran yang tinggi, malah perbelanjaan lain termasuk tambang pengangkutan.
“Tempat prasekolah memang terhad jadi kita mahu cadangkan kepada kerajaan jika berkemampuan selepas ini perbanyakkan kelas prasekolah.
“Selain daripada segi penempatan, anak-anak kita dapat pembelajaran yang lebih sistematik dan memenuhi aspirasi pendidikan negara pada usia masih muda,” jelasnya.
Tambahnya, permohonan kemasukan murid ke prasekolah juga agak ketat dan pemilihan akan dilakukan secara menyeluruh oleh pihak sekolah.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Pendidikan negeri, Rozaini Ahmad, seramai 13,667 murid diterima masuk ke prasekolah di seluruh Kedah bagi sesi baharu persekolahan yang bermula kelmarin.
“Kita mengakui menerima banyak permohonan untuk kemasukan ke prasekolah ini, malah ada ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka seawal usia lima tahun.
“Namun, kelas prasekolah kita masih terhad dan berharap pada masa hadapan kelas ini akan diperbanyakkan,” katanya.