ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri menjangkakan proses membaik pulih jalan-jalan yang rosak akibat banjir di negeri ini akan mengambil masa sehingga tujuh bulan khususnya melibatkan kerosakan besar seperti kerosakan cerun dan jambatan akibat tanah runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerosakan melibatkan permukaan jalan seperti berlubang pula boleh dibaiki dalam tempoh beberapa minggu.
Bagaimanapun, katanya, tempoh kerja-kerja membaik pulih jalan itu turut bergantung kepada beberapa faktor khususnya melibatkan peruntukan.
“Kerja membaik pulih jalan-jalan rosak pasca banjir ini memerlukan sedikit masa kerana walaupun permukaan sudah kering, tetapi masih ada air di bawah tanah, jadi kerja membaik pulih hanya boleh dibuat selepas air bawah tanah kering.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti 36 lokasi jalan rosak khususnya yang melibatkan cerun dan jambatan runtuh, antara kawasan paling teruk terjejas adalah di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram dan juga Felda Chemplak di Segamat,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Iskandar di sini semalam.
Mohamad Fazli berkata, isu besar yang dihadapi ketika ini adalah proses pemulihan tidak boleh dibuat segera kerana memerlukan kajian teknikal yang boleh mengambil masa sehingga tujuh bulan untuk diselesaikan.
Ujar beliau, selepas kajian teknikal, pihaknya perlu melalui proses mendapatkan kelulusan sebelum pemilihan kontraktor bersesuaian.
“Jadi kita berharap JKR (Jabatan Kerja Raya) dan juga syarikat konsesi boleh menggunakan sumber-sumber luar untuk melaksanakan kerja membaiki jalan rosak di seluruh Johor,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohamad Fazli memberitahu, pihaknya pada dua minggu yang lalu telah menghantar permohonan bagi mendapatkan peruntukan berjumlah RM168 juta kepada
Kerajaan Persekutuan untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan.
“Jumlah itu tidak melibatkan keseluruhan kerosakan di Batu Pahat ekoran masih terdapat beberapa kawasan di daerah berkenaan yang masih ditenggelami banjir.
“Jumlah kerosakan sebenar dan keseluruhan peruntukan yang diperlukan untuk membaiki jalan rosak akibat banjir di negeri ini akan dikaji semula selepas banjir selesai sepenuhnya,” jelasnya.