MELAKA – Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini termasuk peniaga biskut raya tidak perlu bimbang mengenai bekalan telur bagi pembuatan produk jualan sempena Ramadan dan Aidilfitri ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Hairudin Yunos berkata, pihaknya telah berurusan dengan industri terlibat yang memerlukan pengkhususan bekalan telur mengikut gred termasuk usahawan IKS.
“Dari segi peniaga IKS yang membuat biskut raya ini mereka ada permintaan dan kita telah sediakan sebagai contoh untuk membuat kuih bahulu kena pakai telur gred AA sahaja atau kuih itu tidak kembang.
“Jadi, kita dah engage (berurusan) dengan industri yang perlu, bukan sahaja kita mementingkan bekalan untuk orang awam tetapi juga para usahawan makanan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Katil, di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, FAMA Melaka telah membekalkan telur kepada 30 usahawan kek dan biskut di ketiga-tiga daerah di negeri ini yang mula meningkatkan pembuatan produk masing-masing sejak tiga minggu lalu.
“Hari ini sudah tidak perlu risau kerana isu keteserdiaan kerana bekalan tu memang FAMA Melaka akan pastikan ia mencukupi dan setiap minggu kita sasarkan bekalan antara 15,000 sehingga 20,0000 papan kepada semua pusat operasi FAMA,” katanya. – KOSMO! ONLINE