JELEBU – Menjelang bulan Ramadan yang dijangka bermula esok, permintaan terhadap ayam kampung sangat menggalakkan terutama dari penduduk daerah ini yang menjalankan tradisi Mantai.
Seorang penternak ayam kampung, Zamirul Ikmar Ab. Zahar, 26, berkata, sejak dua minggu lalu dia telah mula menerima tempahan dari pelanggan dan sehingga kini sebanyak 100 ekor ayam kampung telah terjual.
“Ramai yang mahu memasak rendang ayam juga sempena Mantai, sejak dua minggu lalu saya memang tidak menang tangan menerima tempahan. Memang kebiasaan mereka akan buat tempahan awal kerana khuatir ayam kampung ini habis.
“Alhamdulillah tahun ini, lebih 100 ekor ayam kampung telah terjual dan ada berbaki 100 ekor lagi masih ada untuk keperluan menyambut Ramadan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Chalin di sini semalam.
Graduan Diploma Pelancongan dari Politeknik Muadzam Shah, Pahang itu turut memberitahu, selain ayam kampung dia juga turut menternak burung puyuh.
“Saya juga ada menanam bunga kantan dan serai dan dijual di sekitar daerah Jelebu sepanjang persiapan Mantai ini. Saya juga turut menghantar bekalan ke pasar-pasar berdekatan dan sambutan yang diterima amat baik,” katanya.
Jelasnya Zamirul Ikmar lagi, selain menjelang bulan Ramadan dan hari raya, permintaan ayam kampung ternakannya juga amat menggalakkan pada perayaan Tahun Baharu Cina. – KOSMO! ONLINE