fbpx

Nelayan lemas, tak sempat tengok cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor FARHANI (kiri) bersama ibu, Kamriah Ali (dua dari kiri) sewaktu menunggu operasi mencari bapanya di Jeti Kampung Baru Penarik, Setiu kelmarin.

SETIU – Seorang guru taska yang mengandung tiga bulan terkilan kerana bapanya tidak sempat menimang cucu selepas meninggal dunia akibat lemas di Sungai Setiu di sini Sabtu lalu.

Nor Farhani Mahamad, 27, berkata, arwah bapanya, Mahamad Harun, 63, dilihat begitu teruja apabila dimaklumkan tentang kehamilannya baru-baru ini.

“Saya baru berkahwin dan disahkan hamil baru-baru ini. Saya dijangka melahirkan anak sulung pada September ini.

“Saya nampak ayah gembira mendengar berita kehamilan saya. Dia sememangnya suka bermain dengan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Mahamad yang merupakan seorang nelayan lemas setelah terjatuh daripada bot gentian kaca yang sedang diuji di Sungai Setiu berhampiran Jeti Kampung Baru Penarik di sini.

Sebelum kejadian pada pukul 7 malam itu, mangsa baru selesai membaiki bot yang mahu digunakan untuk memukat udang bersama rakannya.

Bercerita lanjut, Nor Farhani membe­ritahu, dia dan suaminya yang menetap di Manir, Kuala Terengganu bergegas pulang ke kampung selepas mengetahui berita kehilangan bapanya pada malam Sabtu lalu.

Guru taska di Panji Alam, Kuala Terengganu itu membe­ritahu, walaupun mengharapkan bapanya selamat, dia sekeluarga bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah.

“Sekurang-kurangnya jasad ayah ditemui untuk kami uruskan jenazahnya,” katanya.

Jenazah Mahamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Penarik di sini pada 2 pagi semalam.

“Ketika ini saya bimbang kea­daan ibu kerana selepas ini dia akan tinggal berseorangan. Sudah tentu dia terkesan dengan kehilangan ayah,” katanya.

Nor Farhani menambah, dia dan kakak kembarnya, Nor Farhana yang tinggal di Kuantan, Pahang merancang untuk menjaga ibu mereka secara bergilir-gilir selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI