fbpx

Mahkamah: Pemilik stesen minyak didenda RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHIB CHAN didenda RM40,000 kerana membenarkan pengisian petrol bagi kenderaan pendaftaran asing di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Gara-gara membenarkan pemandu kenderaan pendaftaran asing mengisi petrol RON95 berjumlah RM113.30 di Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4, di sini, empat tahun lalu, pemilik stesen minyak didenda RM40,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini.

Phan Chib Chan, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Ini adalah kes pendakwaan pertama bersabit kesalahan penyelewengan minyak bersubsidi di Malaysia.

Mengikut kertas pertuduhan, orang kena saman (OKS) didapati telah gagal mematuhi arahan yang menyatakan bahawa kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak dibenarkan membuat pengisian petrol RON95.

Lelaki itu melakukan kesalahan tersebut pada pukul 10.40 pagi di premis beralamat 13-A, Jalan Tun Abdul Razak Susur 4 pada 13 Mei 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Ikhlas Raja Ariff manakala OKS diwakili peguam, Lim Chon Sim.

Dalam penghujahannya, Muhamad Sabiq memberitahu bahawa OKS pernah dikenakan tindakan kompaun dua kali sebelum ini atas kesalahan sama.

“Ketirisan subsidi ini dengan bantuan pengusaha stesen minyak telah menyebabkan kerugian pada negara. Hujahan pendakwaan menyatakan pada 2019 kerajaan membelanjakan RM2 bilion untuk subsidi.

“Kejadian itu menyebabkan kerugian besar pada negara dan rakyat Malaysia. Oleh itu, sebagai pengajaran kepada kamu dan pemain industri yang lain, supaya tak buat kesalahan yang sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI