fbpx

Lelaki abai isteri, anak 33 tahun kembali rebut hak milik rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusheng dibantu oleh penduduk Shanghai yang menetap di AS untuk pulang ke China. – The Online Citizen

BEIJING – Seorang lelaki di China yang mengabaikan isteri dan anaknya selama 33 tahun selepas  berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) kini kembali untuk menuntut ‘bahagiannya’ ke atas sebuah pangsapuri  yang diduduki oleh wanita itu, lapor akhbar South China Morning Post semalam.

Liu Yusheng, 73, berhijrah ke AS 33 tahun lalu bersama saudara lelakinya kerana percaya mereka boleh menjalani kehidupan lebih baik di negara itu. 

Dua beradik itu masuk ke AS secara haram selepas Yusheng meninggalkan isteri dan anak perempuannya yang ketika itu berusia lapan tahun di bandar raya Shanghai. Sejak itu, dia tidak pernah mengirim berita atau berhubung dengan isteri dan anaknya. 

Tidak lama selepas itu, saudara lelaki Yusheng kembali ke China selepas mendapati kehidupan sebagai pendatang haram di AS amat sukar.

Yusheng kemudian bertemu dengan seorang wanita yang juga dari Shanghai ketika merayau-rayau di sekitar New York, di mana dia diberi bantuan makanan dan tempat tinggal oleh Persatuan Penduduk Shanghai di AS.

Mereka mengumpul dana untuk Yusheng membeli tiket penerbangan pulang ke China selepas lelaki itu mengaku dia mahu meminta maaf kepada keluarganya dan bertemu semula dengan isteri dan anaknya selain mendakwa dia tidak menghubungi mereka sejurus tiba di AS kerana wang dan pasportnya telah dicuri. 

Pada November tahun lalu, Yusheng berjaya pulang ke Shanghai untuk bertemu semula dengan isteri dan anaknya selepas persatuan tersebut membantu dia mencari mereka. Isteri dan anaknya  bagaimanapun enggan menemui Yusheng kerana marah terhadapnya.

“Anda telah meninggalkan kami selama bertahun-tahun dan mengabaikan keluarga sendiri. Jadi, kami menganggap anda tidak wujud. Kita tidak akan kembali bersatu,” kata menantu Yusheng ketika mewakili anak dan isteri lelaki berkenaan.

Tidak lama selepas itu, Yusheng mendapat tahu bahawa isteri dan anaknya selama ini menerima pampasan daripada pihak berkuasa yang merupakan unit pangsapuri bersaiz lebih besar daripada yang didiami wanita itu ketika dia ditinggalkan.

Lelaki itu kemudian meminta isterinya membenarkan dia tinggal di pangsapuri tersebut bersama-sama atau membayarnya sebanyak separuh daripada harga pasaran. 

Menurut laporan, harga pangsapuri yang terletak di pusar bandar Shanghai itu kini mencecah jutaan yuan.

Disebabkan enggan memenuhi permintaan itu, Yusheng mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap isterinya dan menuntut rumah tersebut sebagai sebahagian daripada miliknya.

Meskipun menafikan perkara itu, kisah mengenai Yusheng menjadi tular dan mencetuskan kemarahan pengguna media sosial.

“Tidak berbaloi untuk berasa simpati kepada orang seperti ini. Memandangkan penduduk China di AS amat baik untuk menghantar dia pulang, mereka perlu menjaganya sehingga dia meninggal dunia atau sila kumpulkan wang untuk menghantar dia pulang ke sana semula,” kata seorang netizen. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI