fbpx

Kuala Lumpur saksi penyatuan Charly, ST12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS lebih sedekad memilih jalan sendiri, Kuala Lumpur menjadi gelanggang penyatuan Charly dan rakan-rakan ST12. Foto – AFIQ RAZALI

ALUNAN 35 dendangan yang melatari Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya membuai nostalgia lebih 8,000 penggemar tegar kumpulan popular dari seberang itu yang berlangsung baru-baru ini.

Ibarat lantai tari, Axiata Arena selaku gelanggang penyatuan semula bekas vokalisnya, Charly Van Houten dengan Ilham Febry atau Pepeng (dram) dan Indra (bass) meriah dengan gelagat penonton yang asyik berdansa.

Melihat keterujaan khalayak, Charly turut mengakui dapat memenuhi harapan peminat untuk beraksi semula bersama-sama selepas lebih sedekad membawa haluan sendiri mencetuskan rasa yang sukar diterjemahkan.

‘TELAN kaset’! Masih sama seperti 20 tahun lalu, vokal bertenaga Charly membuai ribuan jiwa peminat.

Seperti dua lagi rakan seperjuangan, setiap satu dendangan bagai mengimbau suka duka mereka menerjah pengembaraan dalam mengukuhkan jenama ST12.

Tidak hairan, bagai terkena magis, penonton terus bergoyang terutama ketika lagu hit Putri Iklan bergema di segenap ruang yang meningkatkan lagi momentum persembahan.

Lebih istimewa, penyanyi berusia 40 tahun itu meluahkan rasa terharu selepas dua dekad berkarya, mereka berpeluang tampil di Malaysia menerusi reunion bersejarah.

Bagai melewati terowong masa, setiap lagu mempunyai nilai sentimental yang menyingkap erti persahabatan serta kasih sayang antara mereka walau tidak lagi bersama selepas Charly memilih berundur dari ST12 pada 2011.

Jangan Marah Marah yang dihasilkan secara bersama selepas lapan tahun terpisah turut dialunkan pada konsert tempoh hari membuatkan arena gah itu bergema dengan sorakan peminat.

KEHADIRAN tetamu istimewa, Datuk M. Nasir pada pentas konsert ST12 membuktikan muzik serumpun sentiasa dekat di hati peminat.

Sepanjang lebih dua jam beraksi dan berkongsi pengalaman lampau, ST12 tidak ketinggalan mendedikasikan rasa terima kasih kepada peminat Malaysia.

“Malam ini akhirnya terjadi bukan kerana kita hebat, tetapi disebabkan kalian yang cukup bahagia.

“Sudah 20 tahun berkarya dan baru sekarang dapat hibur fan di sini. Terima kasih Malaysia,” kata Charly turut merancang mengadakan konsert serumpun di Indonesia pula.

Selain repertoir album terdahulu, ST12 turut mengundang rakan seperjuangan Firman Siagian, selain penyanyi tempatan seperti Jaclyn Victor, Ezad Lazim serta anaknya, Restu Van Houten.

Bekas vokalis ST12, Firman, 44, yang juga peserta program realiti Gegar Vaganza (GV) musim keempat turut memanaskan pentas bersama lagu hit, Kehilangan, sementara Restu, 17, mengundang sorakan dengan persembahan Biarkan Aku Jatuh Cinta.

ST12 membawakan 35 buah lagu meliputi dendangan popular mereka selain menyampaikan seleksi hit penyanyi Malaysia sebagai penghargaan.

Dalam keghairahan mempersembahkan seleksi hit serta lagu ciptaannya, Charly serta rakan seperjuangan tidak ketinggalan menitipkan penghargaan kepada penyanyi Malaysia.

Mereka memilih lagu malar segar tempatan yang popular di Indonesia iaitu Gerimis Mengundang (Slam) dan dua lagu Iklim, Bukan Ku Tak Sudi dan Suci Dalam Debu, selain Rindu Serindu Rindunya (Spoon).

Tambah istimewa, kumpulan itu turut menampilkan Datuk M. Nasir pada penghujung konsert sebagai tanda penghargaan kepada penyanyi komposer legenda itu. Kehadiran figura yang juga sifu ketika ST12 menutup tirai dengan lagu Isabella nyanyian asal Search.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI