PETALING JAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah kementeriannya.
Menterinya, V Sivakumar berkata, perkara itu pernah dibincangkan beberapa kali bagi mencapai persetujuan untuk mewujudkan satu penyelarasan yang lebih baik buat institusi-institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Hari ini kita lihat terdapat 12 kementerian yg terlibat dengan pendidikan TVET. Kesemua program-program TVET adalah diselaraskan oleh Majlis TVET Negara, yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid sendiri.
“Ada cadangan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya institusi-institusi TVET di bawahnya diletakkan di bawah kementerian lain.
“Perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan kalau ia diletakkan di bawah kementerian saya, kami memang bersanggupan untuk ambil program-program TVET daripada mana-mana kementerian lain,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, ia selari dengan matlamat untuk mewujudkan penjenamaan baru dan memastikan imej serta peranan institusi-institusi TVET dapat diselaraskan.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan cadangan tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Parlimen.
Katanya, institut itu sebelum ini diletakkan di bawah KBS, bagaimanapun peruntukan untuk kementerian tersebut tidak akan dikurangkan bagi memberi fokus secara berterusan kepada golongan belia menerusi program dan aktiviti yang lain.
Setakat ini, sebanyak 22 IKBN telah ditubuhkan di seluruh negara bertujuan untuk melatih golongan belia memperoleh kemahiran teknikal untuk bekerja dengan sektor swasta mahupun bekerja sendiri. – KOSMO! ONLINE