PETALING JAYA – Kriteria pemeriksaan kesihatan bagi bakal haji Malaysia musim 1444H/2023 akan dikekalkan seperti tahun sebelumnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Keputusan tersebut adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan semua bakal jemaah haji Malaysia berada pada tahap yang baik dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan kesihatan bakal haji merupakan aktiviti penting yang dilakukan ke atas setiap bakal haji yang akan menunaikan fardu haji ke tanah suci setiap tahun.
“Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititik beratkan oleh semua bakal haji bermula di tanah air lagi. Pemeriksaan kesihatan adalah satu langkah positif agar semua jemaah haji Malaysia mempunyai tahap kesihatan baik.
“Semasa di tanah suci, jemaah juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak, elakkan daripada berhubung dengan mereka yang bergejala dan menjalani ujian pantas (RTK) Covid-19 kendiri sekiranya bergejala” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, peratusan jemaah haji pada musim lalu yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad amat rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana adanya saringan kesihatan yang ketat.
Ujarnya, selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan KKM, setiap bakal jemaah haji Malaysia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor di klinik-klinik yang diiktiraf. – KOSMO! ONLINE