fbpx

Kerajaan setuju tangguh pengenaan cukai jualan LVG import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kuat kuasa peluasan skop kenaan cukai jualan untuk meliputi barangan import bernilai rendah (LVG) kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Kementerian tersebut dalam kenyataan berkata, penangguhan itu turut melibatkan kenaan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran dengan kandungan gula yang tinggi melebihi nilai ambang 33.3 gram/100 gram dan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang.

“Ketiga-tiga inisiatif ini telah disyorkan untuk bermula pada tahun 2023, namun mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terdapat keperluan untuk menetapkan semula tarikh kuat kuasa pengenaan ketiga-tiga duti dan cukai tersebut.

“Sehubungan itu, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kuat kuasa kenaan duti eksais dan cukai perkhidmatan tersebut kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MOF, penangguhan tersebut juga memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi.

“Selain itu, kerajaan juga dapat memperhalusi semua aspek perundangan berkaitan bagi memastikan isu pelaksanaan dapat ditangani dengan sewajarnya,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran dengan kandungan gula yang tinggi melebihi nilai ambang 33.3 gram/100 gram, cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan ke atas LVG.

Kenaan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran adalah untuk meneruskan usaha kerajaan membendung peningkatan penyakit diabetes, obesiti dan lain-lain penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pemakanan yang tidak seimbang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI