fbpx

Farid, Diana baik-baik sahaja di Mekah – Roslan Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANJANG menunaikan ibadah umrah pada Februari lalu kata Roslan, Diana dan Farid langsung tidak menampakkan hubungan mereka seperti ada masalah.

PETALING JAYA – Selebriti serba boleh, Roslan Shah mengakui terkejut dengan laporan berita tentang tuntutan perceraian yang dibuat oleh pelakon Diana Danielle terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Shah Alam, semalam.

Enggan masuk campur urusan rumah tangga mereka, Roslan, 51, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, semasa sama-sama menunaikan ibadah umrah pada bulan lalu, pasangan suami isteri itu dilihat bahagia selain tidak menunjukkan sebarang tanda hubungan mereka sedang dalam masalah.

“Semasa sama-sama mengerjakan umrah pada Februari lalu, Farid dan Diana nampak baik-baik sahaja. Malah mereka saling bergurau senda dengan anak-anak.

“Mereka nampak sangat gembira kerana berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci (Mekah). Jadi apabila keluar berita Diana mahu menuntut perceraian, saya jadi terkejut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pengacara asal Singapura itu lagi, dia berharap pasangan itu dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka dengan baik dan meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.

“Saya bukan mahu masuk campur atas urusan perkahwinan mereka. Tapi apa-apa pun saya berharap dan mendoakan yang baik-baik buat Farid dan Diana,” kata Roslan.

Semalam, dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan berita Diana, 32, menfailkan perceraian pada awal bulan ini ke atas suaminya, Farid, 42, atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) antara mereka.

Pasangan tersebut difahamkan hadir pada sebutan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Shah Alam, semalam.

Bagaimanapun, Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie Shukran Yusof memerintahkan mereka untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Pada 2016, pernah bertebaran spekulasi perkahwinan mereka goyah apabila Diana didakwa hadir ke Mahkamah Syariah, namun mereka enggan membuka mulut berhubung isu tersebut.

Rumah tangga mereka yang dibina pada November 2012 dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI