KOTA BHARU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu membantu menguruskan pengebumian jenazah seorang lelaki obesiti dengan berat badan lebih 200 kilogram di Kampung Demit, Kubang Kerian di sini semalam.
Jurucakap APM Kota Bharu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5 petang kelmarin daripada keluarga mangsa yang berusia 37 tahun.
Menurutnya, anggota APM sudah membantu mengalihkan mangsa yang meninggal dunia akibat sakit jantung dari katil ke ruang yang selesa di rumahnya kelmarin.
“Seramai 20 anggota sekali lagi mambantu urusan pengebumian mangsa sehingga ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya pada pukul 8.30 pagi semalam.
“Anggota APM mengambil masa hampir dua jam untuk membantu menurunkan jenazah mangsa ke liang lahad menggunakan tali khas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambahnya, berdasarkan maklumat, lelaki itu mengalami obesiti sejak daripada kecil. – KOSMO! ONLINE