KUALA LUMPUR – Risiko kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan adalah minimum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau malah telah merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang KWSP serta Peguam Negara dan mendapati tiada percanggahan kebenaran tersebut dengan akta KWSP.
“Bagaimanapun daripada sudut jaminan kepentingan peminjam, dividen akan diteruskan walaupun dia beri cagaran, umpamanya RM50,000 sebagai pinjaman, tetapi dividen itu akan diberi sepenuhnya ikut kumpulan asal tidak dipotong.
“Oleh demikian KWSP berasaskan dalam beberapa tahun pulangan itu dapat diperoleh. Kalaulah beberapa jumlah kecil yang gagal membayar tidak memberi kesan parah kerana jumlah induk dan dividen telah ditambah, jadi risiko itu pada pemahaman saya sangat minimum,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) apakah cagaran wang KWSP kepada bank melanggar Seksyen 51 Akta KWSP 1991 dan apakah kaedah pengurusan risiko jika peminjam gagal melunaskan hutang mereka. – KOSMO! ONLINE