PETALING JAYA – Penyanyi Stacy Anam tidak dapat menyembunyikan rasa sedih atas kehilangan abang tercinta iaitu Chaq yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sibu, Sarawak pada pukul 3.20 pagi tadi.
Stacy, 33, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia masih terkejut menerima perkhabaran Chaq atau nama lengkapnya Camellus Delleli Anam, 35, meninggal dunia selepas menjalani pembedahan dan ditidurkan apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 12 Mac lalu.
Ujar Stacy atau nama lengkapnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, dia menyifatkan Chaq sebagai seorang abang yang sangat penyayang terhadap adik-beradik selain taat pada kedua ibu bapa mereka.
“Chaq merupakan anak keempat daripada enam orang adik-beradik. Dia seorang yang sangat taat pada kedua ibu bapa dan abang yang mempedulikan adik-beradiknya.
“Dia juga seorang abang yang sangat melindungi adik-adiknya dan paling banyak membantu keluarga. Dulu siapa yang buli dan buat saya menangis, dia akan sampai dahulu.
“Saya belajar menari dan menyanyi pun melalui Chaq kerana dia lebih berpengalaman. Saya sangat rindukan abang sekarang,” ujar Stacy kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun Pelangi Senja itu lagi, Chaq juga memiliki perwatakan yang kelakar dan akan sentiasa menjadi penghibur jika dirinya berada dalam kesedihan.
“Kalau saya sedang bersedih, dia akan cari dan tenangkan saya dengan lawak dan gayanya. Saya tidak dapat ungkapkan tentang perihal dan sifatnya kerana terlalu banyak kebaikan dan memori indah yang dia tinggalkan,” katanya.
Kongsi Stacy lagi, kali terakhir dia dapat bercakap dengan abangnya itu sehari sebelum dia membuat persembahan di Konsert DFP PRESENTS: Stacy pada awal Mac lalu.
“Kali terakhir saya bercakap dengan Chaq sehari sebelum konsert saya baru-baru ini. Dialah orang yang paling teruja dari awal untuk datang ke konsert pertama saya, namun hajatnya tidak kesampaian apabila tidak dapat hadir.
“Dia ada cakap pada saya, buat persembahan nanti ‘gila-gila punya’. Saya tidak pernah bayangkan akan kehilangan abang secepat ini. Berita pemergiannya betul-betul mengejutkan kami sekeluarga,” luah Stacy.
Kongsi isteri kepada penyanyi, Akim Ahmad itu, dia akan pulang untuk menyambut jenazah mendiang abangnya di Kota Kinabalu, Sabah, esok sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tuavon, Penampang untuk disemadikan.
Terdahulu, Chaq yang juga bekas peserta Mentor musim ketiga pada 2009 dirawat di hospital kerana mengalami pendarahan dalam kepala selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 12 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE