SETIAP orang mempunyai impian untuk membina mahligai bersama orang tersayang lebih-lebih lagi buat pasangan muda yang baru ingin mencoret kehidupan.
Sejak pandemik Covid-19 melanda, ramai pasangan muda mengambil peluang untuk melaksanakan perkara yang wajib seperti majlis akad nikah dengan hanya mengeluarkan kos perkahwinan yang rendah.
Tambahan pula ramai yang memilih untuk berbuat demikian kerana kos perkahwinan melonjak naik dua kali ganda berbanding sebelum ini disebabkan harga barang mentah semakin meningkat.
Namun, tidak semua keluarga bersetuju anak-anak kesayangan mereka melakukan majlis perkahwinan secara kecil-kecilan kerana mungkin berasa teruja untuk menguar-uarkan kepada rakan dan kenalan.
Justeru, ramai bakal pengantin merungut kerana terpaksa mengikut kehendak keluarga melebihi kemampuan sendiri sehingga ada yang sanggup membuat pinjaman peribadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang individu meluahkan rasa tertekan apabila perancangan dia dan tunang untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan secara sederhana, mendapat tentangan daripada keluarga.
Katanya, dalam perancangan awal, dia mahu menjemput sekitar 300 tetamu sahaja kerana ingin mengelak daripada terbeban dengan kos perkahwinan yang tinggi.
Namun, ibunya membantah dan memaklumkan mahu menjemput 1,000 tetamu disebabkan mempunyai ramai kenalan.
Dalam hal ini, kaunselor keluarga dan rumah tangga, Normaliza Mahadi berkata, sangat penting bagi anak-anak untuk mengadakan perbincangan bagi mengetahui kehendak ibu bapa sebelum melangkah ke fasa seterusnya.
“Sepatutnya sebelum majlis perkahwinan, anak-anak sudah berbincang dengan keluarga tentang beberapa perkara penting.
“Jadi, apabila sudah ada perbincangan, bakal pengantin boleh menyimpan dan membuat persediaan sewajarnya jika pihak ibu bapa sememangnya inginkan majlis mewah.
“Apabila melangkah ke proses seterusnya, tidak ada konfrontasi yang akan berlaku kerana anak-anak sudah jelas kehendak ibu bapa mereka berbanding orang luar,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, ujar Normaliza, baik ibu bapa ataupun anak-anak, sepatutnya perlu meletakkan agama dahulu berbanding kehendak masyarakat.
Jelasnya, jika mengikut garis panduan Islam, cara berkahwin adalah mudah dan tidak menyusahkan dengan mendahulukan perkara wajib serta mengadakannya secara sederhana mengikut kemampuan.
“Nilai perkahwinan bukan terletak pada berapa hantaran atau jumlah tetamu dijemput. Yang penting, kedua pasangan bersedia ingin menjadi suami dan isteri. Tahu tentang tanggungjawab, bina ketahanan dan mencari ilmu.
“Isu sekarang timbul kerana kesedaran kewangan yang ramai orang tidak ada. Ini adalah sesuatu yang sudah sebati dengan masyarakat kita. Bila cerita tentang majlis, terus terbayangkan sesuatu yang grand sampai sanggup berhutang.
“Masalah utamanya adalah kita masih peduli apa orang cakap dan masih nak dengar puji-pujian masyarakat. Sebab itu, sesetengah keluarga jauh meninggalkan apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang Islam,” ujarnya.