SHAH ALAM – “Saya serahkan hubungan kami kepada jodoh dan pihak mahkamah untuk keputusannya.”
Demikian respons pelakon Hafidz Roshdi mengenai kemelut rumah tangganya dengan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri ketika ini.
Kata Hafidz, dia menyerahkan keputusan tersebut sepenuhnya kepada pihak mahkamah bagi menilai mengenai lafaz cerai seperti didakwa Shuhada.
“Saya serahkan kepada pihak mahkamah untuk apa sahaja keputusannya mengenai lafaz tersebut dibuat atau tidak,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesediaannya untuk berbaik dengan Shuhada, Hafidz memberitahu dia juga menyerahkan semuanya kepada ketentuan Tuhan.
“Saya diminta tidak mengganggu pihak Shuhada dan mengambil keputusan untuk tidak berkomunikasi.
“Mengenai jumpa anak, itu urusan antara peguam saya dan Shuhada. Sudah tiga minggu tidak bertemu dan hanya berkomunikasi menerusi panggilan video,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Melastik Ke Hati berkenaan berharap kemelut rumah tangganya berakhir secara baik.
“Harapan saya semoga kes kami ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan tiada sebarang perkara yang merumitkan. Saya cuma berharap yang baik-baik sahaja,” ujarnya.
Ditanya mengenai perasaannya terhadap Shuhada ketika ini, Hafidz menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Tuhan.
“Saya serahkan kepada jodoh, itu jawapan saya. Perasaan saya 50-50,” katanya lagi.
Hari ini, pasangan tersebut hadir ke mahkamah bagi sebutan kes perceraian mereka selepas Shuhada memfailkan cerai pada 27 Februari lalu.
Pada Februari lalu, Shuhada mendakwa wujud pihak ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, kemudiannya dilaporkan melafaz cerai terhadap Shuhada menerusi panggilan telefon bersaksikan ahli keluarga.
Kemelut rumah tangga mereka memuncak apabila Hafidz dilaporkan mencederakan Shuhada dengan menumbuk wajahnya sebanyak tiga kali sehingga perlu menerima 10 jahitan.
Walaubagaimanapun, pada 13 Mac lalu, pelakon itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya tiga minggu lalu.
Hafidz membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.
Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan pelakon itu dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri. – KOSMO! ONLINE