PETALING JAYA – Seorang bapa menyentuh hati ramai pengguna media sosial apabila bersungguh-sungguh mengajar anak gadisnya cara berjalan ke pelamin.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @ffzti, malam sebelum majlis pertunangan, ayahnya menunjukkan cara berjalan yang betul ke pelamin dan ketika menuruni tangga.
“Ayah sampai emosi sebab anaknya ‘kayu’, tidak boleh jalan perlahan-lahan ke pelamin. Sampai suruh buat balik,” tulisnya dalam video itu.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat 1.6 juta tontonan, 198,600 tanda suka dan 10,600 perkongsian.
Menjengah ke ruangan komen, Kosmo! mendapati ramai yang tersentuh melihat kesungguhan si bapa kerana tidak ramai berpeluang merasai pengalaman berharga seperti itu.
“Bestnya tengok.. saya tidak merasa pun kasih sayang seorang ayah,” komen Miez Aaira.
“Comelnya gelagat abah akak.. semoga dipermudahkan urusan yang seterusnya,” komen Irah.
“Allahuakbar, menitis air mata saya. Betapa kasih nya seorang bapa. Terbayang bagaimana saya ingin melepaskan anak perempuan saya nanti,” komen seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE