KOTA BHARU – Empat lelaki yang dipercayai merupakan ahli sindiket penyeludupan ditahan semasa mereka sedang memunggah bekalan minyak masak paket seberat 9.35 tan bernilai RM23,375 di sebuah premis di Kampung Pengkalan Datu, Sering di sini semalam.
Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an itu dicekup kira-kira pukul 2 petang dalam serbuan yang dijalankan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Bahagian Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali, Pasir Puteh.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, anggota penguat kuasa menjalankan pemerhatian selama satu jam di premis tersebut sebelum melihat beberapa orang lelaki memunggah kotak dari premis tersebut ke dalam dua buah kereta jenis Perodua Myvi.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, keempat-empat suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan urus niaga borong atau runcit bagi kesemua minyak masak paket itu.
“Siasatan lanjut mendapati, minyak-minyak masak itu dipercayai diperolehi dari luar Kelantan. Kesemua bahan mentah itu dibawa dengan lori sebelum disimpan untuk transit sementara di premis tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Azman berkata, modus operadi itu sering digunakan oleh penyeludup apabila mereka menyimpan bekalan minyak masak paket di suatu tempat sebelum ia dibawa ke pangkalan haram untuk diseludup ke negara jiran.
Menurutnya, selain kesemua minyak masak paket, pihaknya turut menyita dua buah kereta jenis Perodua Myvi bernilai RM39,000 yang digunakan oleh suspek dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE