fbpx

226 peniaga terbeban sewa naik sehingga 400 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED OTHMAN (tiga kanan) bersama sebahagian peniaga menunjukkan surat kenaikan sewaan pada sidang akhbar di Gerai Kebayan Tembusu, Taman Air Biru, Pasir Gudang Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seramai 226 peniaga dari 18 kawasan Kebayan dan Semai Niaga sekitar bandar raya Pasir Gudang terbeban dan hampir gulung tikar selepas Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menaikkan kadar sewa antara 200 sehingga 400 peratus sejak Januari lalu.

Kebanyakan peniaga antaranya di Kebayan Jalan Sena, Kebayan Taman Mawar, Kebayan Sungai Buluh, Kebayan Taman Pasir Putih, Semai Niaga Taman Cendana dan Semai Niaga Taman Air Biru menyifatkan kenaikan itu seakan mahu ‘membunuh’ mereka.

Seorang peniaga, Siti Amzila Ahmad, 42, yang mengusahakan kedai jahit di Kebayan Jalan Tembusu berkata, sebelum ini sewa yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah RM490 namun bermula 1 Januari lalu, ia naik sehingga RM2,028.

“Kadar sewa baharu ini amat tidak munasabah dalam keadaan perniagaan kami yang perlahan dan masih mahu menapak semula selepas Covid-19. Apatah lagi lokasi Kebayan Jalan Tembusu yang tidak strategik.

“Keadaan ini membuatkan sumber pendapatan kami terjejas sebab kos operasi perniagaan bertambah berkali ganda dan mendadak dalam keadaan ekonomi tidak menentu selepas pandemik,” katanya dalam sidang akhbar peniaga-peniaga Kebayan dan Semai Niaga, di sini hari ini.

Pengusaha Restoran Mee Bandung Sarang Buaya, Norlida Saadon, 43, berkata, kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barang serta kadar sewa yang dinaikkan memberi kesan negatif kepada peniaga.

“Saya hampir-hampir tutup kedai bulan lalu tetapi apabila syarat diberikan PBT terbabit supaya menyerahkan kedai dalam keadaan asal jika mahu tutup kedai, ini memerlukan kos. Mahu cari kedai baharu perlukan kos, nak keluar dari kedai sedia ada pun perlu kos,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin & Cinta Malaysia Syed othman Abdullah berkata, kadar sewa yang dinaikkan amat membebankan para peniaga yang kebanyakkannya dari golongan B40.

“Saya akan berjumpa dengan Datuk Bandar MBPG bagi membincangkan kemelut yang mereka hadapi. Saya berharap Datuk Bandar akan peduli dengan nasib peniaga ini, kerana mereka bukan tolak kenaikan sewa tetapi kenaikannya terlalu tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI