fbpx

10 tahun derita bumbung rumah bocor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Ridzuan (kiri) bersama Sanira (tengah) melihat bumbung rumah yang rosak semasa melakukan lawatan kebajikan di Kampung Baru Air Nasi di Semeling dekat Sungai Petani kelmarin.

SUNGAI PETANI – Lapan beranak di Kampung Baru Air Nasi di Semeling dekat sini, terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa apabila hampir keseluruhan bumbung rumah didiami mereka rosak dan bocor sejak 10 tahun lalu.

Rumah pusaka tersebut didiami pasangan suami isteri, Anuar Mat Desa, 38, dan Sanira Abu Seman, 39, bersama enam anak berusia antara 10 hingga 19 tahun.

Menurut Sanira, kerangka kayu pada bumbung juga telah reput akibat dimakan anai-anai dan dikhuatiri runtuh.

“Bila hujan atau ribut, saya terpaksa menadah air hujan menggunakan besen dan kami akan pergi ke ruang rumah yang lebih selamat untuk berlindung,” katanya di sini semalam.

Katanya, rumahnya juga tidak mempunyai bekalan elektrik kerana bil tertunggak kira-kira RM2,000 dan hanya menggunakan lampu caj semula yang dicaj di rumah jiran.

“Masalah kerosakan rumah dan bil elektrik yang tertunggak ini tidak dapat diselesaikan disebabkan masalah kewangan,” ujarnya.

Katanya, kehidupan dia sekeluarga terjejas selepas suaminya patah bahu akibat terjatuh enam tahun lalu dan tidak boleh me­lakukan kerja berat.

“Suami kini hanya melakukan kerja-kerja kampung. Kami juga bergantung harap kepada anak sulung perempuan, Nur Fatin Syazwani, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Pendapatan yang diperoleh secara harian itu sememangnya sekadar cukup untuk makan, menampung persekolahan tiga anak dan kos perubatan dua anak yang mengalami masalah kesihatan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pertubuhan Al-Ridzuan, Muhammad Ridzuan Suhaimi berkata, pihaknya akan membantu membaiki bumbung rumah berkenaan yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM5,000.

“Kita prihatin dengan ­keadaan rumah didiami keluarga ini yang bukan sahaja rosak teruk pada bahagian bumbung tetapi juga tidak mempunyai bekalan ­elektrik selepas dipotong kerana gagal menjelaskan tunggakan bil hampir RM2,000.

“Selain membaiki kerosakan rumah ini, kita akan turut menjelaskan bil bekalan elektrik bagi memberi keselesaan keluarga ini agar mereka dapat berpuasa dan menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam keadaan selesa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI