KUALA TERENGGANU – Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, 59, telah dibenarkan pulang ke rumah semalam setelah lima hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini mulai Selasa lalu.
Isteri pertamanya, Rogayah Sulong, 52, berkata, tahap kesihatan suaminya kini sudah beransur pulih.
“Alhamdulillah ustaz (Azhar) sudah discharge (dibenar keluar dari wad). Terima kasih kepada pihak HSNZ atas layanan baik.
“Terima kasih juga kepada kru ustaz dan semua yang mendoakan. Semoga ustaz sembuh seperti sediakala agar dapat meneruskan dakwah,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya malam tadi.
Kosmo! Khamis lalu melaporkan Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke HSNZ selepas mengadu tidak sihat dan disyaki mengalami masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.
Sepanjang dirawat di dalam wad, beliau dilawat beberapa pendakwah dan pemimpin politik seperti Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu’ Al-Banjari dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, sumber rapat dengan pendakwah tersebut memberitahu, Ustaz Azhar Idrus dinasihatkan doktor untuk berehat daripada mengadakan aktiviti ceramah dan menyampaikan kuliah agama buat sementara waktu. – KOSMO! ONLINE