PETALING JAYA – Selepas laporan tentang permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil mengejutkan ramai hari ini, perkongsian Instagram aktres Diana Danielle yang dimuat naik beberapa hari lalu menjadi tumpuan netizen.
Dalam perkongsian dua hari lalu, pelakon itu memuat naik gambarnya memakai baju putih menulis kapsyen tentang dirinya yang tidak lagi berada dalam kesedihan.
“No longer in her sad girl era (Tidak lagi berada dalam era gadis sedih),” tulisnya ringkas.
Kapsyen tersebut kemudian menjadi perhatian netizen yang mendakwa Diana, 32, seakan-akan memberi bayangan tentang keretakan rumah tangganya bersama Farid.
Selain itu, hantaran Diana yang berkongsi tentang filem Imaginur berjaya mengutip RM6 juta di pawagam turut dibanjiri komen netizen.
Rata-ratanya meluahkan rasa terkejut dengan berita tersebut selain meminta pengesahan daripada pelakon itu.
“Betulkah awak memfailkan cerai? Dalam Facebook sudah kecoh kes ini,” kata peminat.
“Letak tepi sekejap mengenai filem mengagumkan ini. Adakah benar mengenai berita tular tersebut? Saya mendoakan yang terbaik untuk awak,” ujar pengikut lain.
Hari ini, Kosmo! melaporkan Diana memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil awal bulan ini.
Perkara tersebut dilakukan atas alasan tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq yang bermaksud perbalahan berpanjangan.
Walaubagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai dan difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan pasangan itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan permohonan itu akan ditetapkan semula untuk sebutan pada 28 Mac ini.
Sekadar info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7. -KOSMO! ONLINE