KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas melakukan apa jua siasatan termasuk memanggil pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPRM harus diberi ruang yang luas untuk menunaikan tanggungjawab mengikut lunas undang-undang.
“Bagi saya yang menerajui KDN, itu tugas dan ruang tanggungjawab SPRM,” katanya ketika ditemui pemberita pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di ibu negara pagi ini.
Beliau ditanya mengenai SPRM memanggil pegawai KDN bagi membantu siasatan penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.
Sukuk adalah sijil kewangan Islam yang mengambil konsep sama seperti bon dalam kewangan Barat dan diterbitkan untuk pelabur yang akan menerima keuntungan yang dijana oleh aset sandaran secara berkala.
SPRM membongkar penyelewengan perjanjian sukuk perjanjian sukuk bernilai RM596 juta untuk melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian kerajaan.
Susulan itu, empat individu berusia antara 40 hingga 55 tahun, termasuk seorang pengarah, ketua pegawai kewangan dan seorang pemegang saham ditahan SPRM. – KOSMO! ONLINE