DUNGUN – Kematian anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang meninggal dunia di Gunung Gelemat, Hulu Dungun, Khamis lalu berkemungkinan bukan disebabkan keracunan makanan.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bedah siasat dilakukan ke atas Muhammad Nazli Ajis, 36, di Unit Forensik, Hospital Dungun pada Jumaat lalu gagal menemui sebarang punca kematian.
“Setakat ini, kita masih belum mengetahui punca sebenar kematian anggota Perhilitan tersebut.
“Sampel diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya ketika merasmikan Hari Peringatan Polis ke-216 peringkat Dungun di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini hari ini.
Baharudin berkata, setakat ini, pihaknya percaya, selain keracunan makanan, antara kemungkinan kematian Muhammad Nazli yang juga anggota Perhilitan Mersing adalah jangkitan kencing tikus dan malaria.
Kosmo! Jumaat lalu melaporkan Muhammad Nazli Ajis meninggal dunia ketika sedang menjalankan pemantauan dan kajian perlindungan Kuang Gunung bersama 12 rakan sekerja lain di Taman Negara, Hulu Dungun.
Mayat mangsa terpaksa dibawa keluar menggunakan helikopter AW189 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ia berikutan jarak dan laluan ke gunung tersebut memakan masa tiga hari menerusi jalan darat. – KOSMO! ONLINE