UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi menjadi perbualan selepas dinobatkan sebagai pemenang bagi Kategori Animasi Terbaik pada Pertandingan Animasi anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Pertandingan bertemakan filem animasi yang diadakan di ibu negara itu dimenangi sekumpulan pelajar Diploma Animasi dari UiTM, sekali gus melakar sejarah tersendiri buat universiti berkenaan.
Wakil kumpulan, Muhamad Najib Ahmad Basirun berkata, dia dan tiga lagi rakan kumpulannya langsung tidak menyangka akan dinobatkan sebagai juara pada pertandingan besar tersebut.
“Saya nampak ‘post’ (hantaran) mengenai pertandingan tersebut dalam Facebook rasmi Aswara.
“Pada masa sama, saya sedang habiskan final project (projek akhir) untuk Diploma Animasi dengan ahli kumpulan.
“Kebetulan, tema dan kriteria untuk filem projek akhir saya bertepatan dengan kriteria pertandingan tersebut.
“Jadi, tanpa berfikir panjang kami cuba hantar penyertaan,” katanya kepada iGen baru-baru ini.
Tambah jejaka tinggi lampai berusia 21 tahun itu, lebih membanggakan, dia dan rakan-rakannya memenangi kategori tersebut selepas berjaya ‘menjinakkan’ lebih 20 kumpulan lain yang turut sama bertanding.
Ujarnya, kumpulan lain yang menyertai pertandingan tersebut tidak kurang hebatnya dengan kreativiti dan hasil kerja masing-masing.
“Jujur, kami memang tidak pernah sangka dipilih sebagai pemenang bagi kategori tersebut.
“Perasaan gembira dan terkejut itu bercampur.
“Pada masa sama, kami bersyukur atas rezeki yang diberikan Allah SWT ini,” katanya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta sijil penghargaan.
Ditanya faktor kemenangan kumpulan mereka, Muhamad Najib memberitahu, filem animasi yang dihasilkan mereka secara keseluruhan paling sekata dari segi kualitinya.
“Apa yang saya boleh katakan di sini, dari sudut animasi, latar belakang sampailah ke bunyi latar (sound effect), kumpulan kami boleh dikatakan paling konsisten dan berkualiti.
“Filem animasi yang kami hasilkan ini juga adalah hasil gabungan idea serta berdasarkan kecenderungan minat kami berempat secara menyeluruh.
“Kami minat aksi, fantasi dan seram. Jadi, filem kami adalah gabung kesemua genre tersebut,” katanya.
Menariknya, filem animasi yang dihasilkan mereka turut mengambil inspirasi daripada latar belakang tempat di utara Malaysia iaitu Pulau Pinang.
Menurut anak keempat daripada lima beradik itu lagi, penyertaan mereka tidak berakhir di situ, tetapi bakal memasuki beberapa lagi pertandingan serupa jika ada rezeki kelak.
“Insya-Allah, jika ada lagi pertandingan serupa, kenapa tidak kami mencuba nasib.
“Jika ada rezeki untuk ke peringkat lebih tinggi, kami juga mahu turut serta,” katanya sebelum menutup bicara.