MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa penggempur utamanya, Erling Haaland sudah berada dalam perjalanan untuk menjadi pemain elit setaraf Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Haaland meledak gol ke-42 dalam semua kejohanan musim ini serta mencipta hatrik keenam bersama City ketika pasukan itu membelasah Burnley 6-0 pada aksi suku akhir Piala FA di Etihad awal pagi semalam.
Rekod berkenaan menyaksikan penyerang antarabangsa Norway itu menyamai rekod yang dilakukan Ronaldo ketika memenangi Anugerah Ballon d’Or bersama Manchester United.
Dia juga berpeluang untuk memburu rekod Mohamed Salah dan Ruud Van Nistelrooy yang meledak 44 gol semusim dalam semua kejohanan, malah pencapaian Clive Allen bersama Tottenham Hotspur pada musim 1986/87 meledak 49 gol juga berada dalam bahaya.
“Pemain ini sedang mencipta ‘masalah’ pada masa hadapan kerana orang akan menjangkakan dia sentiasa mampu menjaringkan tiga atau empat gol setiap kali beraksi.
“Tetapi, saya mengenalinya. Dia tidak mempedulikan mengenai perkara itu. Dia seorang yang positif dan optimis dalam hidupnya.
“Dia seorang pemain yang efektif dan mampu memberikan ancaman besar. Apa yang membuatkan dia menjadi begitu adalah kerana sentiasa memikirkan bahawa perkara yang baik akan berlaku untuk dirinya,” kata Pengurus City, Pep Guardiola.
Peluang City menjulang gelaran trebel musim ini terbuka apabila mereka juga masih bersaing dalam Liga Juara-Juara serta berpeluang untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris dan aksi Piala FA. – AGENSI