fbpx

Penjawat awam didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jazvinjit (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol pada Jumaat lalu. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Seorang penjawat awam di sebuah hospital di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Jazvinjit Singh, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut pertuduhan, pemandu kereta jenis Honda Civic itu didakwa memandu keretanya dalam keadaan kadar alkohol sebanyak 167 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had yang ditetapkan sebanyak 50mg bagi setiap 100ml darah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Jalan Lapangan Terbang di Ipoh pada pukul 12.10 tengah malam, 17 Mac 2023.

Bagi kesalahan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. M. Moganaraj Mithra manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

Terdahulu, Moganaraj mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 namun Ranjit memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 ekoran pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah kesalahan pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan Jazvinjit diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen pada 3 April ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI