PETALING JAYA – Penantian selama tujuh tahun akhirnya terlerai apabila penyanyi tempatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Yuna kembali bersama single berbahasa Melayu yang cukup menyentuh sanubari berjudul Menanti.
Kata pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai itu, Menanti merupakan karya dekat di hati yang mengupas erti kerinduan selepas kehilangan insan tersayang.
“Lagu ini seakan luahan berkenaan kehilangan seseorang yang amat kita dikasihi sehingga meninggalkan impak dalam kehidupan.
“Apabila menulis lirik single Menanti, saya terkenangkan arwah sepupu, Amy yang juga teman baik saya. Hidup saya seakan hancur apabila mengetahui arwah pergi buat selamanya.
“Karya ini adalah curahan jiwa serta cerita yang ingin saya kongsikan kepada semua. Malah rakan artis yang saya perdengarkan lagu ini turut hiba,” katanya.
Berkongsi lanjut, Yuna mengakui fokus terhadap pembikinan album, siri jelajah selain kekangan akibat impak pandemik antara punca Menanti lambat direalisasikan.
“Sudah tujuh tahun rupa-rupanya dan sehingga saya sendiri tidak sedar dengan peredaran masa yang pantas.
“Boleh dikatakan sejak tujuh tahun kebelakangan ini saya banyak fokuskan tenaga kepada pembikinan album terdahulu seperti Chapters disusuli Rouge dan terbaharu, Y5.
“Bagi setiap album saya harus persiapkan diri untuk siri jelajah sekitar Amerika Syarikat, dan selepas itu pandemik Covid-19 pula melanda. Terlalu banyak yang berlaku,” katanya.
Menanti dihasilkan Yuna sendiri bersama penyanyi rap antarabangsa, penggubah lagu dan penerbit muzik Berlin, Kenny J Macartney dan diterbitkan Yuna Music.
Masih lagi berkelana nun jauh di Los Angeles, dia enggan terburu-buru menghasilkan album baharu, sebaliknya mahu memberi fokus terhadap single dan EP (Extended Play) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Bercerita lanjut, ketika itu dia hanya memikirkan masa berkualiti dengan insan tercinta terutama bersama keluarga selepas mereka terpisah lebih dua tahun berikutan fasa pandemik Covid-19.
“Selain single dan EP, saya juga mahu fokus bersama keluarga dan tidak sabar untuk pulang menyambut hari raya bersama mereka.
“Selepas berakhirnya pandemik, sekitar Ogos 2021, saya dan suami pulang ke Los Angeles setelah lebih 18 bulan ‘balik kampung’ untuk memperuntukkan masa dengan insan kesayangan di Malaysia.
“Menariknya, ketika itu saya dan suami berkunjung ke sebuah tempat bernama Joshua Tree untuk menulis beberapa buah lagu dan antaranya adalah Menanti.
“Cuma melodi saja saya siapkan waktu itu, sebelum saya terjumpa semula melodi tersebut dalam fail khas pada Januari 2023.
“Pada mulanya saya mahu menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi akhirnya lagu itu keluar dalam bahasa Melayu,” katanya dengan nada teruja.
Penyanyi berusia 37 tahun itu turut mendedahkan penghasilan EP dan single hanya dilakukan di kediaman sendiri yang dilengkapi studio rumah.
“Lagu ini mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan dan hanya dirakamkan di rumah di Los Angeles kerana saya mempunyai sebuah ‘home studio'”, katanya. – KOSMO! ONLINE