PETALING JAYA – Penyanyi kelahiran Rusia, Amirchik tidak menyangka lagu bahasa Melayu berjudul Cinta Ini yang diterjemahkan daripada single Eta Lyubov mendapat sambutan hebat daripada peminatnya di sini.
Kata penyanyi berusia 19 tahun berkenaan, keputusan dia menterjemahkan lirik Eta Lyubov tersebut dalam bahasa Melayu dengan tujuan mengelakkan kekeliruan mengenai maksud lagu tersebut.
“Sejak lagu itu tular dalam TikTok, ramai yang muncul dengan lirik parodi sehingga peminat keliru mengenai mesej yang hendak disampaikan.
“Jadi, saya ambil inisiatif menterjemahkannya kepada bahasa Melayu memandangkan saya juga mempunyai ramai peminat di Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Ditanya tentang tahap kesukarannya menyanyi dalam bahasa Melayu, dia tidak menafikan hal tersebut namun semua itu sanggup dilakukan demi peminat.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana banyak dibantu oleh penulis lirik Cinta Ini iaitu penyanyi Mark Adam.
“Sebenarnya, agak susah juga untuk saya sebut setiap patah perkataan dan memerlukan banyak latihan.
“Jika hendak dibandingkan, bahasa Korea lebih sukar. Saya sendiri pun masih tidak begitu fasih berbahasa Inggeris dan sedang belajar memperbaikinya.
“Sekarang pun saya cuma tahu sebut beberapa patah perkataan sahaja dalam bahasa Melayu,” katanya lagi.
Sementara itu, Amirchik ingin terus meneroka pelbagai genre muzik selain memasang impian untuk memahat namanya di seluruh dunia.
“Melihat kejayaan lagu Eta Lyubov membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja lebih keras untuk menjadi seorang penyanyi dikenali di seluruh dunia.
“Mungkin selepas ini saya akan muncul dengan lagu yang mengetengahkan pelbagai bahasa, selari dengan kehendak peminat,” jelasnya.
Sekadar info, Amirchik bakal terlibat mengadakan persembahan sempena Hoorrey X Fest Raya yang akan diadakan pada 19 hingga 21 April depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Hoorrey X Fest Raya merupakan sebuah festival membeli-belah terbesar raya yang turut menghimpunkan lebih 100 usahawan selebriti popular tanah air.
Antara rakan artis yang terlibat termasuk Lann A To Z, Jaafar Onn, Ayie Floor 88 dan Elyana. – KOSMO! ONLINE