Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui akan terus bereksperimen menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
Pan-gon berkata, ia akan dilakukan bagi mencungkil potensi yang ada pada pemain untuk menjadi pemain yang serba boleh dan fleksibel mengikut perancangan serta strategi yang diterapkan.
“Ini adalah peluang kita untuk melakukan eksperimen, pandangan kita terhadap sesetengah pemain adalah berbeza dengan posisi yang diletakkan bersama kelab yang diwakili.
“Ada masanya saya meletakkan pemain sayap untuk beraksi di posisi pertahanan, itu antara usaha kita untuk meningkatkan kebolehan pemain dalam meningkatkan jentera serangan pasukan.
“Kita akan membentuk karakter pemain mengikut DNA pasukan, jika pemain dilihat boleh beraksi di posisi lain, kita akan gunakan mereka. Kita menuntut pemain untuk menjadi lebih fleksibel,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Skuad Harimau Malaya berkampung di pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa menentang dua pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis ini dan Selasa depan.
Dalam pada itu, Pan-gon menuntut kesemua 27 pemain yang dipanggil termasuk lapan pemain muka baharu mempamer kesungguhan bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama kelak.
Ditanya mengenai keputusan memanggil Noaa Laine, Pan Gon memberitahu, dia tertarik dengan pemain kelab Liga Finland, SJK Seinajoki itu yang memiliki kualiti yang diperlukan.
“Dia masih muda, tapi pengalaman beraksi di divisyen pertama Finland itu yang kita perlukan. Dia yang bermain di posisi tengah bertahan mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.