KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu telah melengkapkan kertas siasatan berhubung perarakan peserta Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) membawa replika senjata di Setiu pada 17 Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Pendakwa Raya.
“Kertas siasatan yang sudah lengkap itu telah dihantar untuk diteliti ke PPN pada minggu lalu.
“Sebelum itu, kertas siasatan tersebut telah dipulangkan semula oleh PPN untuk siasatan lanjut sewaktu pertama kali ia dihantar pada 22 Februari lalu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Wan Rukman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online 19 Februari lalu melaporkan sebahagian peserta Himpit anjuran Pemuda Pas Terengganu berarak dengan kostum pahlawan Islam membawa replika senjata seperti pedang, perisai dan tombak.- KOSMO! ONLINE