fbpx

Isu cedera di set, daftarlah Perkeso, KWSP – Lisdawati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERNAH mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran menyedarkan Lisdawati untuk menjaga diri dengan baik. Foto - MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Pelakon Lisdawati menasihatkan kepada pelakon-pelakon baharu untuk membuat perlindungan diri sebelum terjadinya insiden tidak diingini di set penggambaran.

Menurut pemilik nama sebenar Nisdawati Nazaruddin, 45, perlindungan diri seperti mendaftarkan diri dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat penting jika terjadinya kemalangan dan boleh juga dijadikan bantuan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.

“Pelakon yang terlibat dengan penggambaran babak aksi diibaratkan seperti menempah maut. Jadi, disarankan semua penggiat seni buatlah Perkeso sendiri.

“Tidak mahal pun satu tahun dalam 300 lebih sahaja. Nasihat buat pelakon baharu, kawal diri dan pergi daftar dalam Perkeso dan KWSP.

“Saya sudah mendaftar setiap tahun kerana jadual pelakon tidak menentu. Keluar rumah dikira sebagai bekerja,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Kafe Boi Boi milik suaminya, Fauzi Nawawi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Lisdawati bersetuju dengan tindakan pelakon Fasha Sandha yang tidak cepat melatah selepas tercedera pada mata kiri ketika menjalani sebuah penggambaran bersama Azhan Rani.

“Saya lebih bersetuju dengan Fasha yang mengetahui keadaannya dan tidak salahkan mana-mana pihak.

“Dia sangat profesional dengan kerjanya yang tidak mahu mendengar cakap orang lain,” ujar Lisdawati atau mesra disapa Lisda.

Berikutan kes yang menimpa Fasha, Lisda berkongsi pengalaman dia pernah terseliuh semasa menjalani penggambaran dan belajar sesuatu daripada kejadian tersebut.

“Menjalani penggambaran memang begitu. Saya juga pernah terseliuh akibat terjatuh sehingga tidak boleh tegakkan badan.

“Orang produksi hanya boleh memohon maaf kerana tiada bajet untuk kos rawatan saya.

“Dari situ saya belajar untuk menjaga diri. Kalau buat filem aksi saya akan tanya Fauzi bagaimana untuk menghasilkan babak tersebut,” jelasnya.

Bukan hanya Lisda, sebelum ini Fauzi mendedahkan bahawa dia pernah mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat diketuk dengan pasu seramik semasa menjayakan babak aksi dalam filem Anak Halal.

Susulan kejadian tersebut, aktres itu menasihati suaminya untuk mendiamkan diri walaupun mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Baginya, dia tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak apabila terjadinya kejadian berkenaan.

“Kami diamkan diri kerana saya pesan kepada Fauzi ada perkara boleh cerita dan ada yang perlu diam.

“Dia pula ketika itu seorang stuntman (pelakon lagak ngeri), jadi saya tidak mahu perkara kecil dijadikan isu.

“Susah untuk salah menyalahkan. Bukan tidak reda tetapi perlu menerima memang begitulah kerja pelakon,” ujarnya.

Sebelum ini, kecoh dalam media sosial berkenaan isu Fasha Sandha mengalami kecederaan pada bahagian mata kirinya semasa menjalani penggambaran bersama Azhar Rani.

Kini, kecederaannya semakin pulih namun tetap perlu menjalani pembedahan untuk rawatan susulan.

Isu tersebut mendapat perhatian beberapa selebriti tanah air seperti Datuk Fizz Fairuz, Azhar Sulaiman dan Bront Palarae. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI