JAKARTA – Kementerian Marin dan Perikanan Indonesia berhasrat meningkatkan pengeluaran ikan tilapia bagi memenuhi permintaan tinggi global pada komoditi tersebut, lapor agensi berita ANTARA hari ini.
Menterinya, Sakti Wahyu Trenggono berkata, permintaan global untuk ikan tilapia adalah tinggi dengan pasaran pada tahun ini sahaja bernilai AS$13.9 bilion (RM62.27 bilion).
“Kami akan meningkatkan keupayaan kapasiti pengeluaran tilapia dengan menambah baik penternakannya,” kata Sakti.
Tambah Sakti, beliau kini berusaha membangunkan pusat penternakan tilapia di sepanjang pantai utara di wilayah Jawa Tengah bagi menggantikan udang.
“Komoditi di pantai utara sebelum ini didominasi oleh udang. Namun kini, kita akan menukarnya kerana saya percaya kawasan tersebut sudah tidak sesuai (untuk penternakan udang).
“Kita akan menambah baik kemudahan untuk penternakan tilapia,” jelas beliau.
Komoditi eksport perikanan utama Indonesia sebelum ini adalah termasuk udang, tuna, tuna skipjack, sotong katak, sotong dan ketam.
Sakti berkata, beliau berminat untuk merebut bahagian pasaran dalam lima komoditi utama perikanan di peringkat global termasuk udang, udang galah, ketam, tilapia dan rumpai laut.
“AS, Jepun dan China adalah negara pengeksport utama ikan. Sebilangan wilayah di Eropah juga diketahui mempunyai kualiti tinggi dalam pengeluaran ikan,” ujarnya.
Bagi tempoh 10 tahun lepas, pengeluaran tilapia di Indonesia mencatatkan peningkatan hampir tiga kali ganda daripada 400,000 tan pada 2010 kepada 1.1 juta tan pada 2020. – Agensi