JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih setelah jumlah mangsa di Batu Pahat berkurangan kepada 10,046 penduduk setakat 12 tengah hari tadi.
Jumlah itu membabitkan seramai 2,879 keluarga yang masih ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terbabit, menurut maklumat terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, pada hari ini seramai 883 penduduk daripada 257 keluarga telah pulang ke kediaman masing-masing setelah banjir beransur pulih.
Katanya, tindakan pihak berkuasa menyedut keluar air di kawasan banjir termenung serta cuaca panas sejak beberapa hari lalu menjadi faktor keadaan banjir kian pulih.
“Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat berkurangan daripada 10,396 penduduk yang dilaporkan pagi tadi kepada 1,0046 mangsa setakat tengah hari tadi.
“Setakat ini, hanya tinggal 50 PPS yang masih dibuka di daerah itu dan jumlah mangsa itu dijangka akan terus berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE