SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Farm Fresh Bhd. (Farm Fresh) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi membangunkan Pusat Edutourism dalam meningkatkan minat mahasiswa untuk menceburi industri tenusu serta menggalakkan generasi muda meminati bidang pertanian.
Majlis menandatangani MoA berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Tenusu UPM-Farm Fresh, di sini hari ini.
Kerjasama strategik ini memperkukuhkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melibatkan bidang penternakan tenusu dan proses berkaitan serta menyemarakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam bidang tumpuan universiti dan industri.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, perjanjian berkenaan meliputi bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, aktiviti keusahawanan pelajar serta latihan kemahiran berkaitan untuk kakitangan UPM.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal menambah, kerjasama industri dalam kampus membolehkan pelajar mengikuti latihan industri dan menimba pengalaman di Farm Fresh serta mempersiapkan diri untuk bersaing dalam dunia pekerjaan.
Inisiatif berkenaan secara tidak langsung turut mendukung Matlamat ke-3 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Indusri dan Masyarakat.
Farm Fresh Berhad ditubuhkan pada tahun 2009 dan memulakan operasi ladang tenusu pertamanya di Mawai, Kota Tinggi, Johor. Kini syarikat berkenaan mengoperasikan lima ladang tenusu di Malaysia dan satu di Australia dengan keluasan tanah keseluruhan 2,191 hektar dan saiz ternakan keseluruhan 10,309 lembu tenusu dan lembu jantan.
Ladang yang dibina dengan kerjasama UPM, yang dikenali sebagai Farm Fresh@UPM memiliki keluasan 40.4 hektar dengan sekitar 450 ekor lembu kini dibuka sebagai pusat edutourism yang menjadi destinasi pilihan pelancongan keluarga terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah.
Ia turut menawarkan pakej lawatan yang padat dengan pendidikan tentang amalan kelestarian dan sedikit sebanyak tentang industri tenusu yang diusahakan oleh Farm Fresh yang sering dilawati oleh kanak-kanak sekolah, tadika dan juga korporat. – KOSMO! ONLINE