fbpx

Gadis Kampus: Cinta Amira pada seni persilatan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRA meminati seni persilatan Melayu sejak di bangku sekolah menengah.

Dalam era digital ini, segalanya dilakukan di hujung jari dengan pantas tetapi sempurna.

Generasi masa kini turut terdedah dengan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Twitter, Instagram, Skype, Zoom dan lain-lain.

Di sebalik minat kepada aplikasi berkenaan, masih ada belia yang mencintai budaya bangsa yang diwarisi turun-temurun sejak beratus tahun lalu.

Gadis Kampus kali ini adalah penuntut Ijazah Sains Komputer di Management & Science University (MSU), Amira Amri.

Gadis berusia 23 tahun itu bukan sekadar meminati bidang sains bersifat futuristik, malah turut mencintai ilmu persilatan Melayu.

Menurut siswa semester tujuh itu, minat untuk menceburkan diri dalam dunia silat berpunca daripada abangnya yang menyertai bidang tersebut lebih awal.

“Secara jujurnya, saya memang berminat dengan seni budaya tradisi bangsa kita yang tinggi nilai estetikanya.

“Saya meminati seni silat dengan menyertai Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia kira-kira 10 tahun lalu semasa di tingkatan satu,” katanya.

Amira yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor berkata, hatinya tertarik pada silat setelah melihat abangnya melakukan tarian silat ‘bunga tanjung’.

Jelasnya lagi, rentetan itu, dia terus aktif dengan aktiviti persilatan dan menyertai pelbagai pertandingan silat.

“Saya mula aktif semasa di sekolah dengan mempelajari seni ‘tarian’ dan buah persilatan.

“Pada masa sama, saya menyertai pertandingan silat semasa peringkat sekolah hingga universiti.

“Saya turut bertanding dalam Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) pada tahun lalu dan berjaya memperolehi gangsa menerusi silat olahraga puteri kategori kelas B,” katanya.

AMIRA meraih pingat gangsa dalam salah satu acara silat pada SUKIPT 2023.

Amira menjelaskan, silat sudah sebati dengan dirinya dan seni itu banyak mengajarnya tentang disiplin dan memantapkan ukhuwah sesama insan.

Anak kepada pasangan Amri Hassan, 61, dan Zabedah Mohamad, 61, itu menambah, silat adalah aktiviti yang menyihatkan dan mampu memberi stamina bagi menjalani kehidupan seharian.

“Saya juga gemar melakukan aktiviti ‘outdoor’ bersama rakan-rakan di kawasan semula jadi seperti tepi sungai dan bukit.

“Aktiviti sedemikian membolehkan saya meredakan stres setelah penat menghadiri kelas yang memerlukan tumpuan 100 peratus,” katanya.

Menjawab pertanyaan tentang isu kebebasan bersuara dalam kalangan pelajar universiti, Amira berkata, golongan tersebut wajar diberi hak melontar pendapat selagi tidak bercanggah dengan undang-undang.

Katanya lagi, mungkin ada perkara yang terlepas pandang oleh pihak di atas, namun disedari oleh golongan pelajar.

“Jadi, kami mahasiswa akan bersuara tentang perkara tersebut.

“Biarlah siswa diberi peluang dan ruang untuk memberi pendapat kepada pihak terlibat.

“Namun, platform yang digunakan perlulah terkawal dan kondusif,” katanya lagi.

Mengulas mengenai artis dan yang digemari, gadis manis itu memberitahu, dia amat meminati lagu tradisional nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris.

Untuk segmen lakonan, gadis periang itu berkata, dia begitu menggemari drama dan filem lakonan pelakon Beto Kusyairy.

“Minat dalam bidang seni dan teknologi maklumat bukan sesuatu yang pelik pada era digital ini.

“Kita boleh menonton YouTube pada bila-bila masa untuk melihat video dan lakonan artis yang kita sukai dari seluruh dunia.

“Namun, menikmati hiburan biarlah berpada-pada, jangan sampai hilang fokus kepada pelajaran,” katanya.

Katanya, sebagai seorang pesilat, dia juga meminati tarian tradisional seperti zapin, mengumpul busana Melayu dan membaca buku sejarah tentang Tanah Melayu.

“Hobi-hobi tersebut turut disertai minat membaca novel dan menyanyi,” ujarnya.

Peminat pasukan Liga Perdana Inggeris, Manchester United itu berkata, minat terhadap bidang sains komputer telah mendorongnya menyimpan cita-cita untuk bergelar pembangun perisian yang berjaya pada suatu hari nanti.

Namun buat masa ini, dia ingin melengkapkan pengajian semasa yang masih berbaki satu semester.

“Sebagai orang muda, jangan bazirkan masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah.

“Inilah masa untuk kita menuntut pelbagai Ilmu.

“Bagaimanapun, jangan kita menuntut ilmu akademik sehingga lupa tentang adat dan budaya.

“Ini kerana nenek moyang kita kaya dengan harta intelek bangsa yang dipelihara zaman-berzaman,” jelasnya.

Akhir bicara, Amira menitipkan pesanan kepada para belia supaya jangan terlalu mengejar kemajuan teknologi.

Ujarnya, adat dan budaya bangsa juga perlu dipelihara supaya tidak ditelan arus kemodenan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI