SEPANG- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menafikan spekulasi pihak tertentu yang mendakwa kononnya perkhidmatan pembayaran menerusi kad Touch ‘n Go akan ditamatkan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, mod atau kaedah pembayaran itu akan dipelbagaikan.
“Bukan mahu tamat langsung Touch ‘n Go tetapi selepas ini sistem itu akan menjadi salah satu kaedah pembayaran dan bukan lagi satu-satunya yang sedia ada,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini tadi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi bersama belia ada menyatakan kemungkinan pihak kerajaan memansuhkan trend monopoli oleh Touch ‘n Go.
Mengulas lanjut, katanya, pihak kerajaan juga menyedari rungutan masyarakat yang mendedahkan sukar mendapatkan kad baharu Touch n’ Go apabila kad lama tamat tarikh luput.
“Justeru, mesyuarat Kabinet baru-baru ini meminta kementerian saya agar disegerakan kaedah pembayaran secara terbuka dengan melibatkan semua jenis sistem,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE