fbpx

UCL: Bayern Munich tidak sabar hadapi Manchester City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYERN percaya mereka perlu tewaskan pasukan kuat seperti City jika mengidamkan kejuaraan musim ini. – AFP

MUNICH – Pengarah Sukan Ba­yern Munich, Hasan Salihamidzic sudah tidak sabar untuk bertemu Manchester City yang di­anggap sebagai pasukan terkuat di Liga Juara-Juara musim ini.

Salihamidzic merasakan City mempunyai kekuatan lebih ‘dahsyat’ berbanding juara bertahan, Real Madrid selepas kedua-dua pasukan diundi bertemu di pentas suku akhir bulan depan.

Ia berdasarkan kejayaan The Citizens membelasah satu lagi wakil Jerman, RB Leipzig 7-0 pada timbal balik pusingan 16 terbaik yang menyaksikan Erling Haaland meledak lima gol dalam perlawanan itu.

“Saya amat menggemari cabaran seperti ini. Malah, para pemain juga begitu fokus dan bersedia untuk berhadapan pa­sukan yang saya rasakan terkuat di Eropah ketika ini.

“City menang selesa menentang Leipzig. Jadi, kami meng­anggap ini sebagai satu lagi perlawanan akhir selepas PSG (Paris Saint-Germain) sebelum ini,” katanya.

Bayern mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan PSG 3-0 secara agregat di pusingan 16 terbaik, manakala City pula merekodkan kejayaan agregat 8-0 ke atas Leipzig.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn merasakan pasukannya berpe­luang cerah untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketujuh jika berjaya melepasi cabaran City.

“City adalah pasukan yang sangat hebat, tetapi jangan lupa kami adalah Bayern Munich. Jika anda mahukan gelaran juara, anda perlu kalahkan pasukan seperti City,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI