fbpx

Salamiah Hassan dipuji manis berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAMIAH enggan perubahan imejnya yang kini bertudung menjadi isu besar.

PETALING JAYA – Penyanyi veteran Salamiah Hassan membuatkan peminatnya berasa ‘sejuk hati’ apabila tampil dengan imej baharu sekali gus mengesahkan dirinya kini sudah berhijab.

Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, penyanyi berusia 72 tahun itu kelihatan anggun dengan imej menutup aurat (berhijab) sehingga menuai pujian ramai peminatnya.

Ujar Salamiah, dia enggan penghijrahan tersebut menjadi isu besar kerana perubahan yang dibuat adalah pilihan hatinya sendiri selain merasakan sudah sampai waktu untuk dirinya berhijab.

“Tiada apa yang perlu saya komen. Saya memang mahu berhijab dan tidak suka perkara ini dibesar-besarkan.

“Ramai yang mengenali tahu saya seorang yang menjaga privasi. Apa yang boleh saya katakan, keputusan berhijab dibuat kerana saya sendiri yang mahu memakainya, bukan sebab lain.

“Lagipun saya baru habis tempoh edah dan mahu kembali aktif bekerja. Sekali lagi saya tegaskan, saya enggan perubahan ini menjadi isu besar,” katanya.

Menerusi beberapa komen yang ditinggalkan pengikutnya dalam Instagram, rata-rata memuji imej baharu pelantun Gelombang itu kelihatan lebih cantik selain gembira melihat perubahan positif dirinya.

“Alhamdulillah manis bila tengok Salamiah dah berhijab. Semoga terus istiqamah,” puji seorang peminatnya.

“Tak pernah saya puji mana-mana artis pakai tudung cantik, tapi kak Salamiah ‘special case’. Cantik sangat luar dan dalam,” komen seorang pengguna Instagram.

“Berseri-seri wajah Salamiah Hassan berhijab. Cantiknya,” kata seorang lagi peminatnya.

Bertanya tentang keadaan dirinya selepas empat bulan pemergian suaminya, Gerald Hughes atau Gerry akibat kanser kolon, ibu kepada penyanyi Atilia Haron itu mengakui sebagai manusia biasa, adakalanya dia tidak mampu menutup rasa sedih atas kehilangan suami tercinta.

“Saya okey saja. Kita tiada kuasa dengan apa yang sudah Allah SWT tentukan (takdir). Kita harus reda dan terima hakikat untuk teruskan kehidupan.

“Nak kata kuat, saya hanya manusia biasa. Pastilah masih ada rasa sedih itu. Boleh ke rasa sedih itu hilang begitu saja? Melainkan saya sendiri yang kena mengawalnya dengan kekuatan yang Allah SWT berikan,” jelasnya.

Terdahulu, selepas 36 tahun bergelar ibu tunggal, Salamiah kembali bergelar isteri apabila memilih Gerry yang merupakan seorang warga Australia sebagai suami pada 1 September 2022.

Bagaimanapun, selepas dua bulan berkahwin, Salamiah dikejutkan dengan pemergian Gerry akibat kanser kolon pada 4 November 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI