KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukan dana sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja menukar lif rosak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kerja-kerja penukaran lif itu meliputi hiasan dalam lif, lampu yang lebih terang dan pergerakan lebih lancar bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif kepada penduduk PPR.
Menurutnya, sehubungan itu, KPKT menyasarkan sebanyak 500 lif dapat ditukar di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sekali gus dapat memberi manfaat kepada 500,000 penduduk.
“Kita telah menggariskan beberapa perkara untuk pembinaan PPR kali ini iaitu berdaya huni, senang dihubungi, mampan, terbaik dan komuniti yang baik supaya kediaman kondusif dapat diwujudkan.
“KPKT akan memberi perkhidmatan terbaik dan berharap rakyat dapat memberi masa lima tahun kepada kerajaan untuk melakukan perubahan mengikut perancangan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pasar Tok Kenali, Kubang Kerian di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam pada itu, menurut Kor Ming, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM90.4 juta untuk menyelenggara PPR dan perumahan awam pada tahun ini bagi mewujudkan suasana lebih kondusif sekali gus mengelakkan berlakunya masalah mental.
Menurutnya, KPKT mengambil serius terhadap setiap kajian yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekiranya melibatkan soal kepentingan rakyat.
Terdahulu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu kajian mendapati, lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang mendiami PPR di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata kajian dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan dijalankan ke atas 1,578 kanak-kanak dan remaja di 37 PPR di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Katanya, kebanyakan golongan ini mengalami kesihatan mental akibat masalah ekonomi yang dihadapi selepas penularan Covid-19 dan disebabkan ruang tempat tinggal yang kurang selesa. – KOSMO! ONLINE