SHAH ALAM – Bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, aktres Mimi Lana menjelaskan persiapan perkahwinannya dengan aktor Syafiq Kyle kini sudah siap sekitar 50 peratus.
Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 27, bersyukur kerana semua persiapan berjalan lancar seperti yang dirancang.
“Tiada apa yang saya nak kongsi sebab Syafiq sudah jelaskan sebelum ini dan kalau cakap lebih-lebih pun takut orang bosan dengar.
“Cuma setakat ini persiapan sudah mencapai 50 peratus dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Kosmo! Online pada program Seindah Kasih Media Prima, di sini semalam.
Pelakon filem Pusaka itu juga bersyukur persiapan lancar tersebut disebabkan komunikasi yang baik antaranya dengan Syafiq.
“Persiapan kami sama seperti pasangan bakal pengantin lain dan semuanya dipermudahkan setakat ini.
“Mungkin disebabkan saya dan Syafiq sudah kenal lama jadi kami tak banyak ragam atau masalah.
“Selain itu, keluarga kami juga sangat memahami dan saling membantu,” jelasnya yang juga seorang model.
Ditanya tentang debaran yang dirasai sebelum menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, Mimi memberitahu tidak berasa begitu gementar setakat ini.
Malah, dia juga mengakui sudah lama bersedia untuk bertukar status menjadi seorang isteri.
“Sebenarnya saya sudah lama bersedia untuk bergelar seorang isteri, harap perkara baik seperti ini terus dipermudahkan.
“Debaran itu saya belum rasai sangat ketika ini, mungkin apabila tarikh kahwin sudah dekat, barulah muncul perasaan tersebut,” ujarnya.
Mimi bagaimanapun tidak berkongsi lanjut mengenai tarikh perkahwinan, namun difahamkan majlis tersebut dijangka berlangsung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Terdahulu, Syafiq memberitahu dia dan Mimi bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini.
Pada 21 Januari lalu, pasangan tersebut mengikat tali pertunangan yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat. – KOSMO! ONLINE