SETIU – Seorang mekanik maut setelah jengkaut dikendalinya tergelincir lalu terbalik di Ladang FGV 1 di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 3 petang itu, mangsa, Raja Aznanazran Raja Azhar, 19, maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin, berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika jengkaut yang baru siap dibaiki itu dipandu uji oleh mangsa di kawasan ladang berkenaan.
“Jentera berantai tanpa nombor pendaftaran itu dikatakan tiba-tiba tergelincir lalu terbalik menghempap mangsa dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE